Lebih 21,000 remaja M’sia hamil luar nikah
Menteri: Usaha bendung gejala giat dilaksanakan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif
Kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja berusia 19 tahun ke bawah di Malaysia semakin membimbangkan, dengan sejumlah 21,114 remaja terlibat bagi tempoh 2019 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata usaha membendung kes seumpamanya giat dilaksanakan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Pekerti).
Beliau berkata inisiatif itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada 11 Februari.
Datuk Nancy menjawab soalan daripada Ahli Parlimen (AP) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional-Rantau Panjang) mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut umur, jantina dan bangsa dari 2019 hingga 2025.
Datuk Nancy, yang juga AP Santubong, berkata Pekerti turut melibatkan tindakan bersepadu pelbagai kementerian menerusi platform Majlis Sosial Negara.
Katanya, program itu sebagai salah satu inisiatif di peringkat institusi pengajian tinggi, meluaskan pelaksanaannya di peringkat masyarakat serta mempergiat aktiviti, promosi dan advokasi berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
Datuk Nancy berkata dalam usaha memperkasa institusi keluarga demi kestabilan sosial, kerajaan juga akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baru.
Menurut beliau antara teras yang digariskan adalah untuk memperkasa keupayaan perancangan keluarga menerusi usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu Datuk Nancy menjelaskan kementeriannya menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan khidmat sokongan khusus kepada remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
“KafeTEEN merupakan inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan kepada remaja untuk membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang positif.
“Ketika ini, akses kepada perkhidmatan sokongan remaja diperluaskan melalui 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta pelaksanaan program masyarakat yang menawarkan perkhidmatan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.
“Peluasan program KafeTEEN turut dilaksanakan melalui latihan pendidik rakan sebaya di bawah Kelab KafeTEEN yang kini beroperasi di 143 sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

