Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri sedia tempat bimbing belia berisiko

Pertubuhan bukan meraih untung, Membina Community sedia ruang selamat untuk bimbing, perkasa belia
Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Pasangan suami isteri, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, mengasaskan Membina Community, pertubuhan bukan meraih untung bagi membantu belia berisiko, pada 2023.
Pasangan suami isteri, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, mengasaskan Membina Community, pertubuhan bukan meraih untung bagi membantu belia berisiko, pada 2023. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sepanjang lima tahun lalu, rumah flat Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, di Bedok Reservoir, bukan sekadar menjadi tempat tinggal buat pasangan itu.

Sebaliknya ia turut menjadi ‘ruang selamat’ bagi golongan belia berisiko meluahkan perasaan dan berkongsi masalah.

Menariknya, pasangan itu bukan pekerja sosial, tetapi secara sukarela menjadikan tempat tinggal mereka bak sebuah pusat khusus untuk memberi ruang kepada belia berisiko berkongsi dan mendapatkan bimbingan yang perlu dalam melalui liku kehidupan yang mencabar.

Bagi menampung jumlah belia berisiko yang bertambah, pasangan itu menubuhkan, Membina Community, pertubuhan bukan meraih untung, pada 2023, dan kemudian mengambil keputusan menyewa sebuah unit di tingkat dua rumah kedai di North Bridge Road, bersebelahan Masjid Sultan.

Setakat kini, Membina Community, mempunyai sekitar 30 mentor sukarelawan dan sedang membimbing sekitar 130 belia berisiko secara aktif.

Ia turut melibatkan hampir 300 belia lain melalui program sukarelawan dan kegiatan kemasyarakatan.

“Motivasi kami untuk tubuhkan Membina Community berpunca daripada pengalaman hidup kami sendiri.

“Kami berdua masing-masing membesar di flat sewa dan dibesarkan oleh ibu bapa tunggal, dan pengalaman itu banyak membentuk cara kami melihat dunia.

“Kami faham betapa pentingnya sokongan emosi dan bimbingan, jadi kami ingin sediakan ruang selamat bagi belia yang sering terpinggir,” jelas Cik Husna, 29 tahun.

Encik Jihad, 28 tahun, yang juga Pengarah Eksekutif, Membina Community, menambah beliau dan isterinya menerima sokongan masyarakat dan bimbingan daripada mentor ketika membesar.

Lantas mereka ingin menyumbang kembali kepada masyarakat.

Membina Community mempunyai ruang digelar ‘Heal(inc) Youth Hub’, yang membenarkan belia meluangkan masa bersama mentor dan rakan sebaya.
Membina Community mempunyai ruang digelar ‘Heal(inc) Youth Hub’, yang membenarkan belia meluangkan masa bersama mentor dan rakan sebaya. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Seperti namanya, Membina Community, bertujuan membina komuniti sokongan yang kukuh, khususnya untuk belia terpinggir yang sering rasa suara mereka tidak didengari akibat prasangka atau trauma yang mereka alami sejak kecil.

“Cabaran inilah yang membentuk cara mereka melihat dunia dan diri sendiri.

“Maka, membina komuniti sokongan bukan sekadar memberi bantuan material, ia memerlukan hubungan yang tulen, perbualan jujur, pemahaman mendalam dan empati yang ikhlas.

“Di Membina Community, kami percaya setiap belia berhak mempunyai tempat yang selamat dan mereka rasa seolah-olah seperti di rumah sendiri,” ujar Encik Jihad.

Unit di North Bridge Road itu dilengkapi dengan ruang digelar ‘Heal(inc) Youth Hub’, yang membenarkan belia meluangkan masa bersama mentor dan rakan sebaya.

Ruang itu, yang dilengkapi dengan permainan video seperti PlayStation dan Nintendo Switch, serta gitar dan permainan meja, sering kali dipenuhi makanan dan minuman yang dibeli untuk belia tersebut.

“Hampir setiap hari, belia akan datang ke sini membawa pelbagai masalah.

“Untuk bantu mereka rasa lebih selesa dan terbuka, kami tawarkan makanan dan minuman,” kata Cik Husna, yang berkata makanan dan minuman dibeli digunakan dana yang diperolehi daripada geran pemerintah.

Menurutnya, Membina Community baru sahaja memperoleh status amal daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dan bertujuan mendapatkan status Institusi Bertaraf Awam (IPC). Ia akan menjalankan pengumpulan dana bagi menampung keperluan operasi pada masa depan.

Termasuk Encik Jihad dan Cik Husna, Membina Community, kini mempunyai tujuh ahli lembaga pengarah, dan empat pekerja sambilan yang merupakan belia berisiko yang pernah menerima bimbingan.

Dua program utama mereka adalah Program Asas Membina dan Legenda Membina.

Menurut Cik Husna, Membina Community, sedang membimbing sekitar 130 belia berisiko yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Menurut Cik Husna, Membina Community, sedang membimbing sekitar 130 belia berisiko yang datang daripada pelbagai latar belakang. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menurut Cik Husna, Program Asas Membina berlangsung selama setahun, dan mereka mendekati belia berisiko menerusi kegiatan seperti bengkel kemahiran dan projek kemasyarakatan.

Legenda Membina pula melengkapi belia yang telah menamatkan Program Asas Membina dengan kemahiran dan keyakinan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai mentor.

Mengulas tentang belia berisiko yang mereka membimbing, Cik Husna berkata:

“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang – ada yang berhenti sekolah, ada yang hamil luar nikah, dan ada yang terputus hubungan dengan keluarga sendiri.

“Malah, kira-kira 90 peratus daripada mereka tinggal di flat sewa.

“Jika mereka ada adik-beradik, mereka biasanya tiada ruang peribadi di rumah, jadi mereka akan habiskan masa di luar rumah sebanyak mungkin – ini boleh menyebabkan mereka semakin jauh daripada keluarga.”

Menurut Encik Jihad, pertubuhan akar umbi dan rakan kongsi masyarakat, termasuk Asrama Budak Lelaki Singapura, sering merujuk belia berisiko kepada Membina Community.

Menurut Encik Jihad, antara cabaran terbesar yang dihadapi pada awal penubuhan Membina Community ialah meraih kepercayaan dan sokongan masyarakat.

Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, sendiri membesar di flat sewa dan dibesarkan oleh ibu bapa tunggal, dan pengalaman hidup itu banyak membentuk cara mereka melihat dunia, mendorong mereka menubuhkan Membina Community.
Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi dan Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, sendiri membesar di flat sewa dan dibesarkan oleh ibu bapa tunggal, dan pengalaman hidup itu banyak membentuk cara mereka melihat dunia, mendorong mereka menubuhkan Membina Community. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Apabila berurusan dengan komuniti yang kurang berkemampuan dan belia berisiko, terdapat banyak prasangka yang perlu kami tangani.

“Kami sering perlu jadi jurucakap untuk belia ini dan tunjukkan kepada masyarakat bahawa ada sisi lain dalam kehidupan mereka yang ramai tidak tahu atau fahami.

“Ini perlukan banyak usaha dan kami hanya ada satu sama lain untuk saling menyokong dan yakinkan diri bahawa usaha ini akan membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun, kami telah lihat banyak perubahan positif dalam belia kami. Mereka kini jadi kisah kejayaan kami,” luahnya.

Bagi Encik Jihad, impian jangka panjangnya adalah agar Membina Community menghulurkan sokongan kepada setiap flat sewa di Singapura yang menempatkan belia berisiko.

Namun begitu, Cik Husna menekankan mereka tidak bersaing dengan agensi lain.

Sebaliknya, mereka bertujuan mengisi kekosongan yang masih wujud dalam sistem.

“Membina Community bukan nak gantikan sesiapa. Tetapi dalam masyarakat yang semakin kompleks, pasti akan ada ruang kosong yang perlu diisi,” ujarnya.

“Motivasi kami untuk tubuhkan Membina Community berpunca daripada pengalaman hidup kami sendiri. Kami berdua masing-masing membesar di flat sewa dan dibesarkan oleh ibu bapa tunggal, dan pengalaman itu banyak membentuk cara kami melihat dunia. Kami faham betapa pentingnya sokongan emosi dan bimbingan, jadi kami ingin sediakan ruang selamat bagi belia yang sering terpinggir.”
Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain.

“Kami sering perlu jadi jurucakap untuk belia ini dan tunjukkan kepada masyarakat bahawa ada sisi lain dalam kehidupan mereka yang ramai tidak tahu atau fahami. Ini perlukan banyak usaha dan kami hanya ada satu sama lain untuk saling menyokong dan yakinkan diri bahawa usaha ini akan membuahkan hasil. Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun, kami telah lihat banyak perubahan positif dalam belia kami. Mereka kini jadi kisah kejayaan kami.”
Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg