Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 380,000 terjejas dek gangguan pintu automatik di pusat pemeriksaan JB

Jul 20, 2025 | 5:44 PM
pintu automatik, kastam, rosak
Masalah bermula sekitar tengah hari pada 18 Julai dan melibatkan lebih 200 pintu automatik di seluruh Malaysia, dengan warga asing tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut. - Foto FACEBOOK/WOODLANDS CHECKPOINT HUMAN TRAFFIC

SEPANG: Lebih 380,000 pelawat asing terjejas akibat isu teknikal yang mengganggu sistem pintu automatik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor selama dua hari pada 18 dan 19 Julai.

Dalam satu sidang media di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Julai, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bahawa hingga malam 19 Julai, semua sistem yang terjejas telah kembali pulih.

“Segala sistem kini sudah beroperasi sepenuhnya, 100 peratus.

“Kami amat kesal insiden ini berlaku. Sistem MyIMMS, yang sepatutnya sudah disepadu dengan badan penguasa antarabangsa, menghadapi isu sambungan yang menyebabkan kelewatan dalam proses pemeriksaan,” tambahnya.

Datuk Shuhaily berkata punca utama kejadian itu sedang disiasat dari semua sudut, termasuk kemungkinan berlakunya serangan siber.

“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini.

“Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” ujar beliau.

Ketika ditanya sama ada sebarang pelan tindakan akan dilaksanakan bagi isu yang mungkin timbul pada masa akan datang, Datuk Shuhaily berkata ia terhad kepada infrastruktur yang ada.

“Yang paling kami boleh lakukan ialah membuka semua lorong manual.

“Satu kaedah yang kami laksanakan di Johor ialah memaklumkan orang ramai tentang masalah yang berlaku supaya mereka boleh merancang dengan lebih baik atau menangguhkan perjalanan,” tambahnya.

Masalah bermula sekitar tengah hari pada 18 Julai dan melibatkan lebih 200 pintu automatik di seluruh negara, dengan warga asing tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, pemegang pasport Malaysia dapat menggunakannya tanpa sebarang masalah.

Pintu masuk yang terjejas di seluruh negara termasuk di KLIA, kompleks BSI dan kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua.

Di kompleks BSI sahaja, terdapat 39 pintu automatik untuk keluar dan 29 pintu automatik untuk masuk, manakala kompleks KSAB mempunyai 12 pintu automatik yang beroperasi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg