KUALA LUMPUR: Pintu masuk rasmi ke Malaysia ada 141, tetapi yang paling sibuk adalah melalui jalan darat di Tambak Johor dan laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tiga perempat daripada kemasukan warga asing ke Malaysia adalah melalui dua pintu masuk utama itu, dengan sejumlah 117.9 juta masuk melalui sempadan darat di Johor.
“Ini menjelaskan kenapa ia (Tambak Johor) menjadi sangat sesak. Untuk rekod, bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober 2024, jumlah pengembara yang melalui pusat pemeriksaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah 83.4 juta, manakala yang melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) adalah 34.5 juta.
“Trend peningkatannya pula adalah 17 peratus setiap tahun,” kata Datuk Saifuddin di Parlimen pada 19 November, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Segamat (Johor), Encik R Yuneswaran, di Dewan Rakyat, lapor Kosmo!.
Menurutnya, ia merangkumi kemasukan warga Singapura ke Johor menggunakan kenderaan persendirian dan pengangkutan awam.
“Angka itu mengesahkan bahawa purata setiap hari yang melalui laluan darat paling sibuk ini (Tambak Johor) ialah 400,000 setiap hari,” katanya.
Datuk Saifuddin berkata untuk itu, terdapat 52 inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan untuk menangani kesesakan terutama di Tambak Johor.
Menurutnya, inisiatif itu antaranya merangkumi aspek naik taraf kemudahan dan naik taraf sistem pelepasan automatik dan sempadan atau Automated Check Point and Border System.
Dalam pada itu, katanya bermula Januari hingga 31 Oktober 2024 juga, seramai 32 juta pengembara direkod memasuki Malaysia melalui laluan udara, atas pelbagai tujuan.
Dalam pada itu, Datuk Saifuddin turut memberitahu bahawa vendor untuk sistem pelepasan imigresen kod respons pantas (QR) Malaysia-Singapura akan dilantik menjelang akhir 2024.
Beliau berkata walaupun projek perintis penggunaan kod QR itu ketika ini hanya dilaksanakan untuk penumpang bas dan penunggang motosikal di pusat pemeriksaan BSI dan KSAB untuk keluar masuk Singapura, ia akan diperluaskan secara berperingkat kepada mod pengangkutan lain bermula 2025.
“Jadi, untuk tahun kewangan ini, kami akan memuktamadkan pelantikan vendor untuk pemerolehan. Bajet RM20 juta ($6 juta) telah disediakan untuk tujuan ini,” katanya.
Datuk Saifuddin juga memberi jaminan bahawa penggunaan sistem pagar automatik atau autogate di pintu masuk Malaysia yang diperluaskan kepada pelancong dan pengembara dari 63 negara bermula 1 Jun lalu, tidak akan sesekali menyebabkan aspek keselamatan dikompromi.
“Apakah sistem autogate kompromi dari segi keselamatan, jawapannya tidak. Walaupun kita tak stamp (cap) pasport, tapi apabila dia (pengembara) masuk, kita scan (imbas) wajah dan sebagainya... itu cukup untuk kita simpan rekod mereka,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg