Lebih 900 ekor kambing telah ditempah di ladang Osman Goat Farm di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru, bagi tujuan ibadah korban 2025, dengan lebih 60 peratus (kira-kira 540 ekor) daripadanya ditempah warga Singapura.
Pengarah Osman Goat Farm, Encik Osman Cheya Kutty, berkata jumlah tempahan tinggi daripada rakyat republik ini menunjukkan Johor terus menjadi destinasi pilihan utama warga Singapura untuk melaksanakan ibadah korban.
Menurut beliau, proses agihan daging korban bagi warga Singapura dibuat secara terus di ladang tersebut bermula hari pertama hingga hari keempat Aidiladha sebelum waktu Asar.
“Kami mula membuka tempahan sejak pertengahan Mei lalu sehingga 6 Jun ini. Mereka yang berminat boleh datang terus ke ladang atau hubungi pejabat kami di talian 07-3542828,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata setiap tahun ladangnya menerima sambutan menggalakkan daripada warga Singapura yang lebih selesa memilih sendiri kambing untuk dikorbankan.
“Warga Singapura lebih gemar ke sini kerana mereka boleh melihat, memilih dan menyentuh sendiri kambing yang mereka inginkan. Lokasi ladang yang dekat dengan kawasan bandar juga menjadi faktor utama ladang kami menjadi pilihan utama mereka,” tambahnya.
Encik Osman menjelaskan setiap kali menjelang Aidiladha, ladangnya mampu menghasilkan antara 2,800 kilogram hingga 3,200 kilogram daging kambing bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Beliau berkata pihak ladang turut menyediakan kemudahan tempahan secara terus (walk-in), tetapi ia terhad hanya sehingga waktu Asar pada hari keempat Aidiladha sahaja.
“Hari pertama dan kedua, proses sembelihan dilakukan sepenuhnya oleh pekerja ladang. Namun, pada hari ketiga, kami boleh membenarkan pelanggan yang berminat melakukan sembelihan sendiri dengan pengawasan pekerja kami,” jelas beliau lagi.
Tambahnya, sebanyak 25 petugas termasuk tukang sembelih serta petugas melapah daging disediakan bagi memastikan proses ibadah korban berjalan lancar dari awal sehingga proses agihan selesai.
“Jenis kambing yang ditawarkan kepada pelanggan pula termasuk baka boer, ferral, Burma dan biri-biri Thai. Semua jenis ini mendapat permintaan tinggi setiap tahun,” katanya.
Beliau juga berkata selain pelanggan persendirian, pihaknya turut melaksanakan agihan daging korban kepada golongan asnaf setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial ladang.
Menurutnya, jumlah tempahan korban pada 2025 mencatatkan peningkatan ketara berbanding 2024, sekali gus mencerminkan kesedaran tinggi masyarakat terhadap ibadah korban.
Setiap kambing dijual di antara RM1,000 ($303) hingga RM1,800.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg