Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 51,000 penjawat awam M’sia berisiko tinggi hadapi isu kesihatan mental
Lebih 51,000 penjawat awam M’sia berisiko tinggi hadapi isu kesihatan mental
KUALA LUMPUR: Seramai 55,169 penjawat awam Malaysia yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan kakitangan berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail, berkata jumlah itu menunjukkan kepentingan memperkukuh kesejahteraan psikologi dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh.
“Dapatan Kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia pada 2025 turut menunjukkan kesejahteraan psikologi antara faktor penting yang mempengaruhi kesejahteraan organisasi, sekali gus memberi kesan kepada mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Oleh itu, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi secara holistik perlu dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memastikan rakyat negara ini khususnya perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara, kekal cekap, responsif dan berdaya tahan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam 2026 (PSYCON 2026) bertema, ‘Psikologi Memperkasa Insan, Mencorak Masa Hadapan’, di Institut Tadbiran Awam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 21 September.
Pada Julai lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dilaporkan berkata kerajaan sedang mempergiat langkah campur tangan awal bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.
Langkah itu dipergiat selepas kajian MyPsych mengenal pasti lebih 40,000 penjawat awam mempunyai kecenderungan ke arah tingkah laku negatif, termasuk cubaan membunuh diri.
Menyusuli itu, ketua jabatan dimaklumkan supaya bekerjasama dengan pegawai psikologi bagi melaksanakan campur tangan awal terhadap individu yang dikenal pasti berisiko.
PSYCON 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta mewakili kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memperkukuh keupayaan profesion psikologi dalam mendepani perubahan persekitaran kerja dan cabaran psikososial yang semakin kompleks.
Datuk Mohd Bakhari berkata landskap pentadbiran moden yang dinamik bukan sahaja memerlukan profesionalisme, dedikasi dan integriti tinggi, malah keupayaan mengurus tekanan kerja dengan berkesan.
Menurutnya, ketua jabatan bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan sewajarnya bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja yang menjadi aset penting negara.
“Kerajaan sebagai majikan misalnya telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan psikososial termasuklah dari sudut kewangan dan juga latihan bagi mengukuhkan tahap daya tahan dan kesejahteraan penjawat awam,” ujarnya.
Beliau berkata, antara usaha berkenaan termasuk penambahbaikan skim perkhidmatan, gaji, elaun serta kemudahan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan, kerajaan turut memperkenalkan pendekatan kerja lebih fleksibel menerusi Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang dilaksanakan mulai 1 Ogos lalu, tambah beliau.
