Penipu akan dihukum sebat sekurang-kurangnya enam kali, dan hukuman itu boleh meningkat sehingga 24 sebatan, berdasarkan betapa serius kesalahan.
Mereka yang akan dihukum sebat termasuk anggota sindiket dan perekrut, serta individu yang membantu mereka, seperti keldai wang yang menyediakan akaun bank, kad SIM atau butiran Singpass.
Keldai wang tersebut akan menghadapi hukuman sebat mengikut budi bicara sehingga 12 sebatan.
Demikian hukuman yang dikenakan selepas Akta Undang-Undang Jenayah (Pelbagai Pindaan) diluluskan di Parlimen pada 4 November.
Berucap di sidang Parlimen, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, berkata:
“Penipuan ini adalah jenis jenayah paling lazim di Singapura hari ini. Antara 2020 dengan separuh pertama 2025, terdapat kira-kira 190,000 kes dilaporkan, dengan kerugian sekitar $3.7 bilion.
“Ini adalah angka yang mengejutkan. Ia merupakan 60 peratus daripada semua jenayah yang dilaporkan, dan kerugian tersebut adalah lebih daripada tiga setengah kali ganda kos membina Kampus Kesihatan Woodlands.”
Beliau menambah walaupun hukuman sebat diperkenalkan untuk penipuan, semakan mendapati perlunya untuk mengukur semula hukuman sebat bagi kesalahan lain.
Terdapat 96 kesalahan yang menarik hukuman sebat mengikut budi bicara dan 65 dengan sebat mandatori.
Cik Sim berkata hukuman sebat tidak diperlukan bagi beberapa kesalahan, kerana masyarakat dan situasi jenayah telah berubah.
Dalam pada itu, hukuman lebih berat juga akan dikenakan bagi mereka yang mengedarkan bahan lucah kepada 10 orang atau lebih.
Mereka yang melakukan kesalahan sedemikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, meningkat daripada tiga bulan sebelum ini.
Jika bahan tersebut melibatkan individu di bawah umur 18 tahun, tempoh maksimum penjara akan digandakan kepada empat tahun.
Bagi menghukum mereka yang memudahkan perbuatan sedemikian, satu kesalahan baru akan diperkenalkan yang menyasarkan individu yang menubuhkan atau menguruskan platform dalam talian yang mengedarkan bahan lucah.
Ini termasuk pentadbir kumpulan atau saluran sembang, blog atau akaun di platform perkongsian video.
Cik Sim berkata undang-undang sedia ada sudah merangkumi deepfake atau palsu mendalam seksual, yang mengubah rakaman sedia ada.
Namun, kecerdasan buatan (AI) generatif kini membolehkan penghasilan imej atau video sintetik seseorang tanpa menggunakan imej atau rakaman sedia ada.
Pindaan undang-undang akan menjelaskan bahawa ia adalah satu kesalahan untuk menghasilkan sebarang imej intim tanpa persetujuan. Ini melibatkan imej yang memaparkan kanak-kanak, meskipun kanak-kanak itu sebenarnya tidak terlibat.
Pindaan lain berkaitan dengan kesalahan antun seksual (sexual grooming) di bawah Kanun Keseksaan juga dibentangkan.
Jika pesalah dan mangsa bertemu atau merancang bertemu di luar negara untuk melakukan perbuatan seks yang haram, dan salah seorang daripada mereka telah datang dari Singapura, pesalah boleh dikenakan tanggungjawab atas antun seksual.
Tempoh maksimum penjara akan ditingkatkan kepada tujuh tahun jika mangsa berusia bawah 14 tahun.
Dalam pada itu, mereka yang mendera mangsa daripada golongan terdedah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, meningkat daripada penjara selama 20 tahun.
Doxxing, atau menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugut, terhadap penjawat awam, apabila disertai dengan maklumat palsu, juga akan menjadi satu kesalahan jenayah, dengan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda sehingga $10,000.
Di samping itu, pesalah remaja berusia 16 dan 17 tahun, boleh dikenakan hukuman pencegahan seperti penjara, latihan reformasi, dan sebatan apabila kes mereka dikendalikan di Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Belia.
Selain itu, keperluan pengawalseliaan bagi pekerja dan peniaga logam berharga akan dikemas kini, dengan meningkatkan tempoh menunggu daripada tiga hari kepada lima hari, sebelum individu ini boleh mencairkan, mengubah atau merosakkan barangan atau produk tersebut.
Semasa sidang Parlimen, Akta Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (Penyelesaian Pertikaian) juga diluluskan.
Ini di samping soalan mengenai kesejahteraan dan beban kerja guru, skim perintis bagi perjalanan kereta api percuma di luar waktu sibuk pagi di Laluan Timur Laut (NEL), serta jumlah bakal anggota Perkhidmatan Negara (NS) didapati mempunyai masalah kesihatan mental, yang dikemukakan beberapa Anggota Parlimen (AP).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg