Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 91% anggota pasukan keselamatan undi awal PRN N. Sembilan
Lebih 91% anggota pasukan keselamatan undi awal PRN N. Sembilan
Lebih 91% anggota pasukan keselamatan undi awal PRN N. Sembilan
Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 melibatkan anggota pasukan keselamatan dengan pasangan, berakhir pada 5 petang, 28 Julai.
Semua 38 pusat mengundi awal di seluruh Negeri Sembilan ditutup pada 5 petang, sebaik sahaja tamat waktu pengundian awal yang dibuka sejak 8 pagi untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 16,467 daripada keseluruhan 22,339 pemilih, yang merangkumi 11,293 tentera dengan pasangan; serta 5,174 polis dengan pasangan, layak mengundi secara fizikal pada 28 Julai.
Sementara selebihnya memilih mengundi secara pos.
SPR dalam kenyataan berkata sehingga tempoh pengundian awal ditutup, seramai 14,995 daripada 16,467 pengundi awal PRN Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata jumlah itu merekodkan peratusan keluar mengundi awal sebanyak 91.06 peratus.
Sebelum itu setakat 3 petang, SPR memaklumkan anggota PDRM, PGA dan pasangan mencatatkan kadar keluar mengundi tertinggi iaitu 93.24 peratus atau 4,824 daripada jumlah 5,174 pengundi.
Sementara itu, seramai 9,827 daripada 11,293 pengundi awal membabitkan anggota ATM dan pasangan telah mengundi setakat 3 petang, dengan kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 87.02 peratus.
Pada PRN 2023 yang lalu, peratusan keluar mengundi awal direkodkan sebanyak 59.80 peratus, melibatkan 15,594 daripada 26,079 pengundi awal.
Beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan sementara, merangkap calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun, sempat turun meninjau hari pengundian awal melibatkan anggota tentera di Dewan Serbaguna Kem Segenting, Port Dickson.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan 103 calon daripada lapan parti politik termasuk calon Bebas bertanding merebut 36 kerusi DUN, dengan pengundian bagi 867,151 pemilih biasa ditetapkan pada 1 Ogos ini.
PRN Negeri Sembilan diadakan selepas Datuk Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
PRN itu diadakan lebih awal dari tempoh tamat penggal DUN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada September 2028, menyusuli kemelut politik selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin.