Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Negeri Sembilan: Dua Menteri jadi tumpuan untuk pertahan kerusi
PRN Negeri Sembilan: Dua Menteri jadi tumpuan untuk pertahan kerusi
Menariknya ialah kededua anggota Kabinet Persekutuan itu kini mengetuai kempen bagi gabungan politik yang ‘bermusuh’
PRN Negeri Sembilan: Dua Menteri jadi tumpuan untuk pertahan kerusi
Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen (AP) Seremban, Encik Anthony Loke, dan Menteri Luar merangkap AP Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, muncul antara nama besar atau heavyweight yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Jika di Putrajaya hampir setiap minggu mereka duduk bersebelahan menghadiri mesyuarat Kabinet yang sama dan mempertahankan dasar kerajaan yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun apabila kempen PRN Negeri Sembilan bermula 18 Julai lalu, Encik Loke, yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), serta Datuk Mohamad merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Presiden Umno, membawa misi yang berbeza.
Walaupun kedua-duanya ialah anggota Kabinet Persekutuan, mereka kini mengetuai kempen bagi gabungan politik yang ‘bermusuh’ dan bersaing sesama sendiri untuk membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan.
Encik Loke bukan sebarang calon untuk bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah atas tiket PH – parti gabungan pimpinan Datuk Anwar.
DUN Chennah adalah kerusi tradisinya sejak pilihan raya 2013, ketika PH masih di bangku pembangkang.
Sebelum berpindah ke DUN Chennah, Encik Loke juga memegang kerusi DUN Lobak selama dua penggal sejak 2004 hingga 2008.
Untuk PRN Negeri Sembilan ke-16 ini, Encik Loke akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon BN daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Siow Kong Choon.
Malah, Encik Loke turut memainkan peranan penting dalam kempen PH di Negeri Sembilan di samping Pengerusi PH negeri dan Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun, bagi memastikan gabungan itu terus mentadbir negeri yang dikuasai sejak 2018.
Datuk Mohamad pula bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004, yang turut membuka laluan untuk beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun sehingga 2018.
Datuk Mohamad akan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi.
Penganalisis politik yang juga Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, melihat Encik Anthony berdepan cabaran untuk mempertahankan kerusi mengambil kira gelombang biru (BN) yang kembali menunjuk taring – bermula di PRN Johor.
Sementara Datuk Mohamad pula menurutnya berpotensi besar untuk mempertahankan kerusi bersandarkan rekod sebagai mantan Menteri Besar, selain strategi politik BN dengan Perikatan Nasional (PN).
“Walaupun pada PRN 2023 Encik Loke menang dengan majoriti agak selesa, 2,200 undi majoriti, tetapi kali ini berdepan calon MCA satu lawan satu. Jika diambil kira gelombang yang berlaku di Johor, MCA menang bergaya di banyak tempat umpamanya DUN Perling.
“Hakikatnya ialah MCA bersama-sama dengan Umno itu mempunyai satu kekuatan yang agak luar biasa di mana pengundi memberi kepercayaan. Jadi bagi saya di DUN Chennah ini besar kemungkinan Encik Loke akan tewas dengan majoriti tipis kepada calon MCA.
“Tetapi bagi DUN rantau pula, Tok Mat (Datuk Mohamad) dijangka mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar berbanding PRN 2023.
“Ini kerana teorinya ialah BN dikatakan agak selesa di Negeri Sembilan terutama di kawasan pinggir dan luar bandar dan Tok Mat dianggap sebagai poster boy iaitu bakal Menteri Besar sekiranya BN yang bekerjasama dengan PN menang PRN ini,” katanya.
Di Malaysia, mana-mana pemimpin politik yang memegang jawatan AP juga boleh bertanding pada PRN untuk mengisi kerusi DUN.
Penyertaan dua Menteri Persekutuan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini mendapat perhatian kerana ia berlaku ketika BN memilih untuk bekerjasama dengan gabungan pembangkang – PN.
Ia sekali gus menyaksikan BN dan PH bertanding sebagai lawan, walaupun kededuanya terus menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Keadaan itu meletakkan Datuk Mohamad antara tumpuan, apabila beliau berkempen bagi memastikan kemenangan BN di Negeri Sembilan, sedangkan pada masa sama terus berkhidmat sebagai anggota Kabinet bersama Menteri PH, termasuk Encik Anthony.
Perkembangan itu turut mencetuskan gesaan daripada beberapa pihak supaya Datuk Mohamad melepaskan jawatan sebagai Menteri Luar atas alasan beliau kini mengetuai kempen politik yang menentang PH di peringkat negeri.
Isu berkenaan mendorong Datuk Anwar mengingatkan semua menteri dan pemimpin politik yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan supaya tidak menyerang Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, setiap anggota Kabinet terikat dengan disiplin pentadbiran dan bebas memilih sama ada mematuhinya atau melepaskan jawatan dalam kerajaan jika tidak lagi bersetuju dengan prinsip berkenaan.
Datuk Anwar turut mengingatkan bahawa kempen pilihan raya tidak seharusnya mewujudkan suasana yang boleh membawa kepada ‘medan politik yang parah’ sehingga menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan itu bagaimanapun dibalas Datuk Mohamad serta Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mempertahankan pendirian BN untuk bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan.
Beliau dan Datuk Mohamad senada bahawa jika kedudukan anggota BN dalam Kabinet menjadi pertikaian, mereka sedia menerima apa juga keputusan yang dibuat, termasuk dipecat daripada menganggotai Kabinet.
Bagi Datuk Mohamad pula, mempertahankan Rantau membawa makna yang lebih besar daripada sekadar mengekalkan kerusi yang dimenanginya sejak lebih sedekad lalu.
Keputusan itu turut dilihat sebagai ukuran terhadap kekuatan Umno dan keberkesanan kerjasama BN-PN yang diuji buat kali pertama dalam pilihan raya.
Selain Datuk Mohamad dan Encik Anthony, AP lain yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan ialah Datuk Aminuddin sebagai AP Port Dickson serta AP Jelebu yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.