KUALA LUMPUR: Kerugian lebih RM655 juta ($197 juta) dalam hanya tempoh 11 minggu 2025.
Itulah perangkaan kes jenayah penipuan atau scammer terutama secara dalam talian yang kian meningkat dan membimbangkan di Malaysia.
Berdasarkan perangkaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 10,218 kes direkodkan di seluruh negara sehingga 16 Mac.
Jumlah itu membabitkan nilai kerugian lebih RM655.3 juta dengan sebanyak 11,616 kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut.
JSJK dalam satu kenyataan kepada Harian Metro berkata perangkaan pihaknya merekodkan 7,576 kes penipuan dalam tempoh sama 2024.
“Namun, jumlah kes itu kini menunjukkan peningkatan sebanyak 53 peratus dalam tempoh 11 minggu.
“Jumlah kerugian juga mencatatkan peningkatan sehingga 27 peratus berbanding RM514.6 juta tahun lalu (2024),” katanya.
Menurut kenyataan itu, hasil analisis mendapati penipuan dalam talian terus menjadi penyumbang terbesar kes jenayah komersial.
“Kes penipuan itu meliputi 88 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan dengan nilai kerugian lebih RM489 juta.
“Trend itu dijangka terus melonjak pada minggu-minggu akan datang tahun ini (2025),” ujarnya.
Kes itu meliputi 4,509 kes jenayah telekomunikasi dengan nilai kerugian RM142 juta; pembelian dalam talian (2,118 kes dengan nilai kerugian RM17.7 juta) dan penipuan pelaburan (1,652 kes dengan nilai kerugian RM301.8 juta).
Kes pinjaman tidak wujud pula sebanyak 1,159 berjumlah RM8.6 juta; penipuan e-kewangan (580 kes dengan nilai kerugian RM11.4 juta) dan ‘Love Scam’ (200 kes dengan nilai kerugian RM8.5 juta).
Menurut kenyataan itu, JSJK dalam mendepani peningkatan kes kekal beriltizam untuk terus melipatgandakan usaha pembanterasannya.
“Selain itu, kita akan memperkasakan tindakan penguatkuasaan menerusi proses siasatan yang lebih bermutu.
“Pembabitan aktif masyarakat juga amat penting bagi memastikan mesej pencegahan dan informasi jenayah komersial sentiasa disebarkan, sekali gus memastikan persekitaran yang selamat dan terhindar daripada ancaman,” katanya.
Faktor usia dan kurang terdedah kepada teknologi yang sentiasa berkembang pesat membuatkan golongan warga emas sering menjadi sasaran oleh sindiket penipuan.
Warga emas yang menjadi mangsa ini mengalami kerugian bukan sedikit, sebaliknya bagi setiap individu itu ada yang rugi mencecah hingga jutaan ringgit.
Sementara itu, Duta Anti-Scam yang juga bekas pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Encik Rahmat Fitri Abdullah, mendedahkan sejumlah RM3.11 bilion kerugian akibat penipuan direkodkan sepanjang 2024, iaitu purata RM8.5 juta sehari.
“Saban tahun kes jenayah komersial dan siber menyaksikan peningkatan, sekali gus membuktikan bahawa jenayah ini amat serius.
“Jumlah kerugian yang mencapai bilion ringgit juga lebih besar jika nak dibandingkan dengan kerugian jenayah lain.
“Oleh itu, sudah tiba masanya semua pihak mengambil tindakan untuk memerangi jenayah penipuan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg