Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sungai Johor tercemar: Lebih sejuta pengguna di Johor terjejas

Libat pengguna di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian
Nov 4, 2025 | 12:42 PM
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (dua dari kanan), meninjau Sungai Kampung Orang Asli Sayong Pinang di Kota Tinggi, Malaysia.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (dua dari kanan), meninjau Sungai Kampung Orang Asli Sayong Pinang di Kota Tinggi, Malaysia. - Foto MALAYSIAGAZETTE

JOHOR BAHRU: Puluhan ribu penduduk di Johor masih berdepan gangguan bekalan air meskipun dua dari empat loji rawatan air telah kembali beroperasi selepas dihentikan susulan kejadian pencemaran akibat kegiatan perlombongan pasir di Sungai Johor sejak 31 Oktober.

Krisis itu menjejas lebih sejuta pengguna di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian.

Keadaan itu memaksa orang ramai mendapatkan bekalan air mineral sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan keadaan itu berlarutan lebih lama.

Setakat laporan ini ditulis, usaha sedang dijalankan bagi memastikan semua empat loji rawatan air di sepanjang Sungai Johor dapat beroperasi semula sepenuhnya.

Seorang penduduk dari Tebrau, Encik Rosli Hassan, 48 tahun, berkata laporan pemulihan yang dikongsi di laman media sosial syarikat konsesi air dianggap tidak bermakna jika pengguna masih tidak menerima bekalan air selepas lebih 48 jam.

“Sesetengah kawasan menghadapi tempoh gangguan lebih lama.

“Saya harap kerajaan negeri mengambil perkara ini dengan serius dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencemarkan sumber air kita,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa terima kasih kepada syarikat konsesi air yang proaktif menghantar lori tangki ke kawasan terjejas.

Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Wan dari Taman Impian Emas, Skudai, berkata bekalan air di kawasannya terputus sejak Sabtu.

“Keadaan ini sangat menyusahkan keluarga saya, terutama kerana kami mempunyai warga emas di rumah,” katanya lapor The Star.

Dalam tinjauan di lokasi, seramai 25 nelayan Kampung Orang Asli Sayong Pinang di Kota Tinggi percaya pencemaran terkini itu menyebabkan kira-kira satu tan ikan mati.

“Kami mungkin mengambil masa enam bulan atau lebih untuk pulih sepenuhnya kerana tujuh tahun lalu kami pernah melalui situasi sama akibat pelepasan ammonia dari sebuah kilang,” kata nelayan, Encik Azman Izam, 48 tahun.

“Kami juga berharap sungai ini dapat pulih sepenuhnya tidak lama lagi, terutama kerana kini musim pembiakan ikan,” katanya.

“Saya ada tiga anak yang masih bersekolah, jadi setiap ringgit sangat bermakna. Apabila sungai tercemar, ia menjejas terus kemampuan kami untuk menyara keluarga,” tambahnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata tiga laporan polis telah diterima berhubung kejadian pencemaran air Sungai Johor yang menjejas bekalan air mentah dan pendapatan 150 nelayan sekitar daerah Kota Tinggi sejak 31 Oktober.

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua laporan dibuat penduduk kampung yang terjejas manakala satu lagi oleh syarikat pengendali air, Ranhill SAJ Sdn Bhd.

“Setakat ini, kita sahkan tiga laporan telah diterima dan dijangka ada beberapa lagi laporan akan dibuat oleh penduduk terlibat,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Menurutnya siasatan berhubung kes itu dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Setakat ini, tiga perkampungan Orang Asli dikenal pasti terjejas akibat pencemaran berkenaan iaitu Kampung Sayong Pinang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Kempas Menang, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg