Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PUB: Bekalan air di Loji Air Sungai Johor disambung semula

Nov 2, 2025 | 7:19 PM
Lebih 800,000 penduduk terjejas selepas beberapa loji rawatan air menghentikan operasi akibat pencemaran di Sungai Johor.
Lebih 800,000 penduduk terjejas selepas beberapa loji rawatan air menghentikan operasi akibat pencemaran di Sungai Johor. - Foto BERNAMA

Operasi di Loji Air Sungai Johor (JRWW) telah disambung semula setakat 12 tengah hari pada 2 November, kata agensi air nasional PUB Singapura.

Ini menyusuli pemeriksaan bagi mengesahkan kualiti air di Sungai Johor kembali ke paras normal.

Menyatakan demikian dalam satu kenyataan pada 2 November, PUB menyatakan bahawa bekalan air daripada JRWW disambung semula mulai 5.30 petang 2 November.

Sebelum ini, pengendali air tunggal negeri itu, Ranhill SAJ, memaklumkan bahawa 81 peratus daripada bekalan terganggu telah pulih setakat 8 pagi pada 2 November.

“Bekalan air di Senai, Seelong dan Bukit Indah, serta sebahagian kawasan Kota Tinggi dan Pontian, telah kembali pulih,” kata Ranhill SAJ.

Di Kulai, bekalan telah pulih sebanyak 85 peratus, diikuti Kempas dan Tebrau (75 peratus), Skudai (64 peratus), Gelang Patah (49 peratus) dan kawasan sepanjang jalan Pontian dan Skudai (40 peratus), menurut kenyataan Ranhill SAJ di Facebook pada 2 November.

Lebih 800,000 penduduk terjejas selepas beberapa loji rawatan air menghentikan operasi akibat pencemaran di Sungai Johor, lapor akhbar The Star.

“Usaha menyediakan bekalan air melalui lori tangki sedang dijalankan bagi memastikan pengguna terus menerima bekalan sepanjang tempoh kejadian yang berlaku pada 31 Oktober,” kata Ranhill SAJ sebelum ini pada 1 November.

“Mereka yang masih menerima bekalan air dinasihatkan untuk menyimpan air yang mencukupi,” tambahnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran aduan rasmi mereka di 1800-88-7474, jelas Ranhill SAJ.

Menurut laporan sebelum ini, kekeruhan air mentah di Sungai Johor meningkat secara mendadak selepas kebocoran kolam cucian keenam di sebuah tapak perlombongan pasir daratan di Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Prasarana dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pemantauan oleh beberapa agensi mengesan peningkatan kekeruhan air yang ketara. 

Menurut beliau, tahap kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit kekeruhan nefelometrik (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Kekeruhan air boleh disebabkan oleh partikel terapung seperti lumpur, tanah liat, bahan organik dan mikroorganisma.

Tahap kekeruhan tinggi bermakna air kelihatan lebih keruh, manakala tahap kekeruhan rendah menunjukkan air lebih jernih.

“Insiden ini berpunca daripada perlombongan pasir daratan apabila kolam cucian keenam bocor akibat pergerakan tanah.

“Sebagai tindakan segera, pelepasan air dari Empangan Linggiu telah ditingkatkan bagi mengurangkan pencemaran di Sungai Johor,” jelas Encik Fazli.

Kejadian itu menjejas operasi loji rawatan air Linggiu, Semangar, Sungai Johor dan loji air agensi air Singapura, PUB. 

Bekalan air di beberapa kawasan di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai kemungkinan turut terganggu.

“Kawasan terjejas termasuk sebahagian kawasan Senai, Skudai, Seelong, Felda Linggiu, Petri Jaya dan Lima Kedai,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg