Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih separuh pemilik rumah di M’sia tidak lindungi kediaman daripada bencana

Jun 3, 2025 | 4:28 PM
Kadar pemilikan polisi insurans kebakaran dan perlindungan rumah di Malaysia masih statik, iaitu sekitar 43 peratus sejak 2023.
Kadar pemilikan polisi insurans kebakaran dan perlindungan rumah di Malaysia masih statik, iaitu sekitar 43 peratus sejak 2023. - Foto FACEBOOK JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI JOHOR

PETALING JAYA: Hampir setiap hari di Malaysia dilaporkan berita kebakaran, banjir kilat atau bencana lain yang berpunca daripada keadaan cuaca ekstrem.

Namun, walaupun begitu, masih ramai pemilik rumah di Malaysia seakan-akan tidak tergerak hati untuk melindungi kediaman mereka daripada ancaman tersebut.

Lebih membimbangkan lagi, data terkini menunjukkan lebih 50 peratus isi rumah di Malaysia masih tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans terhadap kerosakan struktur rumah akibat kebakaran, banjir atau cuaca ekstrem lain.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kadar pemilikan polisi insurans kebakaran dan perlindungan rumah masih statik, iaitu sekitar 43 peratus sejak 2023.

“Pada tahun 2023, hanya 3.89 juta daripada 8.88 juta isi rumah di Malaysia yang memiliki insurans kediaman. Manakala pada tahun lalu (2024) pula, daripada 9.1 juta isi rumah, hanya 3.87 juta memiliki polisi insurans kebakaran dan kediaman,” katanya.

Sehubungan itu, PIAM menasihatkan agar pemilik rumah mula menilai semula strategi perlindungan kediaman mereka memandangkan cuaca semakin tidak menentu, ditambah pula dengan nilai hartanah yang semakin meningkat, lapor The Star.

Memetik tinjauan ketahanan iklim 2024 oleh Zurich Malaysia, PIAM menjelaskan bahawa sebanyak 54 peratus rakyat Malaysia merasakan mereka tidak bersedia menghadapi risiko berkaitan perubahan iklim, dengan 38 peratus menyatakan kekangan kewangan sebagai punca utama yang menghalang mereka mendapatkan perlindungan mencukupi.

“Banjir (75 peratus), gelombang haba (74 peratus) dan tanah runtuh (70 peratus) merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia. Selain itu, risiko terhadap infrastruktur bandar seperti kejadian pokok tumbang dan tanah jerlus juga kini menjadi isu yang semakin diberi perhatian (67 peratus), susulan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini di Kuala Lumpur,” jelas PIAM.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran, PIAM kini giat memaklumkan kepada pemilik rumah mengenai pilihan polisi perlindungan banjir yang tersedia, dengan kos serendah RM14 ($4.25) sebulan atau kira-kira 0.086 peratus daripada nilai perlindungan RM200,000 bagi sesebuah kediaman.

“Langkah utama adalah dengan menghubungi syarikat insurans atau ejen anda bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang polisi insurans kebakaran dan kediaman, serta mengetahui cara terbaik untuk melindungi rumah dan harta benda daripada risiko bencana,” katanya.

Bagaimanapun, PIAM turut mengakui terdapat peningkatan yang memberangsangkan dalam permintaan rakyat Malaysia terhadap perlindungan insurans rumah yang lebih komprehensif, khususnya yang meliputi risiko berkaitan banjir dan perubahan iklim.

Antara perlindungan pilihan pengguna termasuklah perlindungan asas kebakaran yang meliputi kerosakan akibat kebakaran langsung, kepanasan, asap serta air pemadaman api yang boleh turut menjejaskan hartanah berhampiran. Institusi kewangan juga sering mewajibkan perlindungan ini bagi kediaman yang mempunyai pinjaman perumahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg