MALAYSIA : Ketika Encik Michael Tong Wai Siong berusia 39 tahun, beliau tidak pernah menyangka akan menjadi bapa kepada tiga orang anak lelaki berbangsa Melayu dan hidupnya bakal berubah dengan kehadiran mereka.
“Saya tidak pernah berkahwin ... Tiba-tiba saya terpaksa menjaga tiga orang anak yang bukan darah daging saya.
“Bagaimanapun, saya merasakan ini adalah amanah yang diberikan Tuhan kepada saya dan saya terpaksa menerima cabaran itu,” kata Encik Tong, kini 55 tahun.
Kira-kira 16 tahun lalu, pengurus acara itu melawat sebuah rumah anak yatim di Gombak, Selangor, di mana beliau melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk bersendirian.
Anak kecil itu ialah Encik Rafie Ahmad Fauzi, kini seorang usahawan berusia 29 tahun.
“Dia hanya duduk bersendirian, tidak berinteraksi dengan orang lain. Saya diberi tahu oleh penjaga di situ bahawa Rafie enggan pergi ke sekolah,” ulas Encik Tong sambil mengimbau kembali kenangan pertama kali berjumpa dengan anak angkatnya itu.
“Selepas melawat Rafie di sekolah dan berjumpa dengan gurunya, saya dapati dia menghadapi masalah pembelajaran. Jadi saya mendaftarkannya di pusat tuisyen.”
Dari situ, Rafie mula menunjukkan peningkatan dan minat untuk belajar.
Pada suatu hari, semasa melawat rumah anak yatim itu, Encik Tong menemui nota yang ditulis oleh Rafie yang bertanya mengapa beliau kehilangan ibu bapanya dalam usia yang muda, dan terpaksa berpisah dengan dua adik lelakinya yang lain.
“Ia (nota itu) mengusik hati saya. Penjaga itu mencadangkan lebih baik saya ambil Rafie sebagai anak angkat dan tinggal bersama saya, kerana dia hanya mendengar cakap saya. Jadi saya lakukan,” kata Encik Tong.
Selepas mengesan abang kepada Encik Rafie - Encik Rasyid dan Encik Abdul Rahman, kini berusia 28 dan 24 tahun, di sebuah rumah anak yatim di Klang, Selangor, Encik Tong memutuskan untuk membawa mereka tinggal bersamanya di Bandar Sri Damansara.
“Ibu saya risau. Mengapa anak keduanya yang belum berkahwin, memutuskan untuk mengambil anak-anak ini sebagai anak angkat?
“Walaupun menyokong, beliau menasihati saya bahawa ia tidak mudah. Tetapi beliau berjanji untuk memberi saya pertolongan sepanjang jalan.
“Anak-anak lelaki itu sangat menghormati orang tua, jadi kehadiran mereka dalam keluarga kami tidaklah janggal sama sekali,” kata Encik Tong, sambil menambah bahawa mereka memanggil ibunya “popo” (Panggilan ‘nenek’ dalam bahasa mandarin).
Untuk memastikan ketiga-tiga kanak-kanak itu terus menerima ajaran Islam, Encik Tong meminta nasihat daripada rakan-rakan Melayu/Islamnya.
“Sepanjang Ramadan, saya akan berpuasa bersama mereka.
“Ketika mereka masih kecil, sukar sekali untuk bangun sahur, jadi saya terpaksa menyiram air ke arah mereka untuk mengejutkan mereka,” katanya mengingati kenangan silam itu.
Di Hari Raya, Encik Tong akan membawa tiga beradik lelaki itu ke rumah rakannya yang berbangsa Melayu/Islam di Selayang, di mana mereka akan solat bersama.
“Kami juga menyambut Tahun Baru Cina bersama. Setiap tahun semasa perjumpaan makan malam, anak-anak lelaki saya akan menyertai kami,” tambahnya lagi.
Walaupun membesarkan ketiga-tiga anak lelaki itu seorang diri dengan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, Encik Tong tidak pernah berhasrat untuk menggantikan bapa kandung mereka.
“Saya bukan Ahmad Fauzi (nama bapa mereka). Saya tetap ‘Uncle Mike’.
“Saya melakukannya dengan ikhlas untuk memastikan mereka membesar menjadi ahli masyarakat yang berguna,” tambahnya.
Walaupun belum menemui pasangan hidup, Encik Tong berkata “tiga Rs” adalah hantaran Tuhan dan beliau tidak pernah menyesal membawa mereka ke dalam hidupnya.
“Rafie kini sudah berkahwin dengan dua orang anak. Saya sudah bergelar datuk sekarang dan tidak pernah rasa kesepian.
“Mereka semua kini mempunyai kehidupan dan perniagaan mereka sendiri dan saya berbangga dengan mereka,” kata Encik Tong. – The Star.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg