Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa tetak noja surau mohon rawatan psikiatri di mahkamah

Dec 16, 2025 | 12:52 PM
Kamarulzaman Kamarudin, tetaj, noja, siak, taiping
Kamarulzaman Kamarudin (kanan) ketika dibawa keluar dari bilik bicara selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan menetak seorang noja surau menggunakan parang di Kamunting, Taiping, pada 10 Disember. - Foto NSTP

TAIPING: “Saya nak minta pergi hospital sakit jiwa.”

Demikian kata-kata seorang lelaki yang mencuri perhatian di Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Disember apabila merayu supaya dirujuk ke hospital psikiatri.

Kamarulzaman Kamarudin, 55 tahun, didakwa menetak seorang noja surau menggunakan parang di Kamunting, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Kamarulzaman didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Normuda Mod Noor, 68 tahun, menggunakan sebilah parang di Surau Nurul Hidayah, Jalan Bukit Jana, Kamunting, dalam daerah Larut, Matang dan Selama, kira-kira 2.30 petang pada 10 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Cik Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Nur Syuhada menawarkan jaminan RM15,000 ($4,735) dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Ketika hujahan mitigasi, Cik Puteri Hikmatul memaklumkan tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari serta difahamkan pernah tiga kali dirujuk ke hospital psikiatri.

“Dia (tertuduh) memohon untuk dirujuk ke hospital sementara menunggu tarikh sebutan akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan surat rawatan psikiatri tertuduh tidak disertakan dalam kertas siasatan polis.

Cik Puteri Hikmatul juga memohon jumlah jaminan diturunkan kepada RM2,000, namun pihak pendakwaan menegaskan jumlah jaminan yang setimpal perlu dikenakan memandangkan kes tetakan itu mendapat publisiti meluas dan menimbulkan kebimbangan orang awam.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang hadir tanpa ditemani anggota keluarga, diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta tertakluk kepada dua syarat tambahan yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 29 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg