KANGAR (Perlis): Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meluahkan keyakinan Cawangan Khas Bukit Aman sememangnya mempunyai maklumat berhubung dakwaan gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang sedang aktif di Malaysia.
Kenyataan itu merupakan maklum balas beliau terhadap gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang meminta Datuk Mohd Asri, tampil menyerahkan maklumat selepas beliau membuat pendedahan mengenai kegiatan itu.
Sebelum ini, Datuk Saifuddin Nasution, telah mengesahkan pertubuhan yang dikaitkan dengan gerakan kultus – sistem pemujaan dalam upacara keagamaan – dari Korea Selatan memang berada dalam radar pemantauan pasukan keselamatan negara.
Bagaimanapun, beliau menyatakan setakat ini gerakan itu belum mencapai tahap yang boleh dianggap mengancam keselamatan negara.
Menjelaskan tindakannya berdiam diri seketika, Datuk Mohd Asri berkata:
“Sejak kenyataan YB (Yang Berhormat) Menteri mengenai kegiatan itu, banyak media dalam dan luar negara mengeluarkan berita mengenainya. Banyak juga wartawan bertanya, namun saya tidak memberikan maklum balas kerana menimbang beberapa isu lain yang sedang saya beri perhatian.”
“Di samping itu, saya percaya pihak Cawangan Khas Bukit Aman tentu mempunyai maklumat mengenai hal ini.
“Pasukan penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul,” ujar Datuk Mohd Asri, dalam hantaran di Facebook, pada 14 Disember, seperti yang dilaporkan Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Datuk Mohd Asri mendakwa terdapat penglibatan Ahli Parlimen Muslim dan individu penting Parlimen yang aktif membantu gerakan kultus tersebut dan satu taklimat mengenainya telah disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Menyusuli pendedahan itu, Datuk Saifuddin Nasution, meminta Datuk Mohd Asri, segera menyerahkan maklumat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lebih menyeluruh.
Datuk Saifuddin Nasution turut menjelaskan beliau sudah diberi taklimat oleh Cawangan Khas PDRM berhubung latar belakang pertubuhan berkenaan termasuk corak kegiatan, bentuk penglibatan serta tokoh-tokoh tempatan yang terbabit.
“Jadi, apakah bentuk kegiatannya sehingga sampai pada satu tahap untuk kita katakan (ia) mengancam keselamatan negara?
“(Setakat ini pemantauan PDRM sahkan) ia belum sampai tahap itu lagi... sebab itu pemantauan berterusan dibuat oleh pihak polis,” kata Datuk Saifuddin Nasution, lapor BHM.
Mengulas mengenai isu ajaran berteraskan kultus secara umum, Datuk Mohd Asri menjelaskan ia merujuk kepada bentuk pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga akal dan pertimbangan rasional diketepikan.
“Ajaran kultus biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg