JOHOR BAHRU: Tindakan seorang banduan Singapura melarikan diri ke Johor mengundang padah apabila dia bersama teman wanitanya menjadi mangsa culik kenalannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata mangsa berusia 32 tahun masuk ke Malaysia secara tidak sah sejak Mei 2026.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang banduan yang menghilangkan diri semasa menjalani tempoh parol, dan dikehendaki polis Singapura.

“Dia dipercayai menghubungi kenalannya bagi memaklumkan keberadaan di Malaysia.

Namun kenalannya itu yang kononnya mahu menyambutnya sebaliknya menculik banduan itu bersama teman wanitanya serta melakukan pemerasan.

“Pada 10 Ogos lalu, polis Johor menerima laporan dari seorang wanita warga Singapura memaklumkan anak lelakinya (mangsa) diculik oleh suspek tidak dikenali di Johor Bahru.

“Mereka menuntut wang tebusan sebanyak $80,000 dan hasil rundingan kemudian dikurangkan ke $25,000.

“Keluarga mangsa membuat pemindahan $5,000 secara dalam talian dan baki wang tebusan iaitu $20,000 dijanjikan pada hari pembebasan mangsa,” katanya.

Datuk Kumar berkata teman wanita mangsa yang juga warga Singapura berusia 33 tahun turut diculik dan dikurung bersama mangsa, lapor Harian Metro.

“Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Johor ditubuhkan dan pada 6 petang 11 Ogos mereka menyerbu sebuah pasar raya di kawasan Nusa Bestari, Iskandar Puteri di sini.

“Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura berjaya diselamatkan dan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditangkap ketika urusan untuk pembayaran wang tebusan sedang dijalankan.

“Mangsa lelaki dalam keadaan cedera di kedua-dua bahagian peha dipercayai kesan kelaran senjata tajam bagi menakutkan keluarga.

“Susulan penangkapan ini, beberapa siri serbuan dijalankan di kawasan Skudai dan polis berjaya menangkap empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang kesemuanya berusia antara 32 hingga 46 tahun,” katanya.

Menurutnya, semua suspek didapati memiliki rekod terbabit dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata barangan yang dirampas ketika serbuan termasuk wang tebusan $12,000, wang tunai RM41,400 ($12949.09) dipercayai milik mangsa, 10 telefon bimbit; rantai, jam tangan jenama Rolex dan kereta Perodua Axia berwarna merah dengan nilai keseluruhan rampasan adalah RM264,440.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan.

“Jika disabitkan kesalahan suspek akan dipenjarakan tidak kurang dari 30 tahun, tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan sebat.

“Permohonan reman di bawah seksyen 12 Akta Penculikan 1961 ke atas semua tangkapan dibenarkan selama 10 hari mulai 12 Ogos hingga 21 Ogos,” katanya.