Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis: Lelaki warga S’pura diculik di M’sia diselamatkan di Kedah, dua suspek sindiket ditembak mati
Polis: Lelaki warga S’pura diculik di M’sia diselamatkan di Kedah, dua suspek sindiket ditembak mati
Mangsa, 72 tahun diperdaya menerusi iklan tawaran kerja, diselamatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF)
Polis: Lelaki warga S’pura diculik di M’sia diselamatkan di Kedah, dua suspek sindiket ditembak mati
Seorang lelaki warga Singapura berusia 72 tahun telah diselamatkan di Kedah pada 7 Ogos oleh polis tempatan, selepas beliau pergi ke Malaysia pada akhir Julai dan diculik.
Lelaki tersebut tiba di Pulau Pinang pada 26 Julai selepas memberi respons terhadap iklan pekerjaan sebagai perunding dan kemudiannya dilarikan oleh penculik, menurut laporan Free Malaysia Today.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata dalam satu sidang media pada 10 Ogos bahawa mangsa telah menghantar mesej suara kepada keluarganya menerusi WhatsApp pada 4 Ogos. Mesej itu memaklumkan beliau telah diculik dan hanya akan dibebaskan setelah wang tebusan $1 juta dibayar.
Keluarga mangsa membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira RM48,000 ($15,000) ke dalam akaun-akaun yang dikawal oleh pihak suspek, kata Datuk Kumar, seperti dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
Dalam satu kenyataan pada 10 Ogos, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kes tersebut oleh keluarga mangsa pada 4 Ogos.
SPF telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang kemudian berjaya menyelamatkan lelaki itu serta seorang wanita berusia 33 tahun pada 7 Ogos di Kedah. Dua pucuk pistol, peluru dan sebilah parang dirampas dalam serbuan tersebut, menurut Datuk Kumar.
Beliau menambah bahawa kedua-dua mangsa menunjukkan tanda-tanda diseksa, termasuk kesan luka “akibat objek tajam”, lapor saluran berita Malaysia, The Star.
Dua individu yang disyaki sebahagian daripada sindiket penculikan itu ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah polis semasa serbuan tersebut. Enam individu yang lain telah diberkas, kata Datuk Kumar. Keenam-enam suspek kini sedang membantu siasatan, tambahnya.
Lelaki warga Singapura itu berada dalam keadaan selamat dan telah menerima rawatan perubatan, kata SPF dalam kenyataannya.
Siasatan PDRM mendapati bahawa sindiket tersebut disyaki menggunakan media sosial dan platform dalam talian, termasuk Telegram, WeChat dan Badoo, untuk menjalinkan hubungan dengan bakal mangsa, kata SPF.
Sindiket itu kemudiannya menjemput mangsa untuk berjumpa secara bersemuka atas pelbagai alasan, termasuk untuk bercuti, peluang pekerjaan atau bersosial.
Akhbar The Star di Malaysia melaporkan wanita berusia 33 tahun yang diselamatkan di Kedah telah berkawan dengan seorang wanita warga asing melalui WeChat, yang menjemputnya untuk bertemu dengan seorang lelaki di Pulau Pinang.
Wanita itu dilarikan pada 5 Ogos oleh penculik, yang menuntut wang tebusan dan mengugut untuk menghantarnya ke Myanmar, mendorong wanita itu meminta wang daripada ahli keluarganya.
“Sindiket yang sama dipercayai terlibat dalam dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur,” kata Datuk Kumar.
Salah seorang daripada dua mangsa telah melarikan diri dan membuat laporan polis terhadap penculik tersebut, menurut The Star.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Singapura, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (SAC) Julius Lim merakamkan penghargaan kepada PDRM atas tindakan pantas dan kerjasama erat dengan rakan seangkatan di Singapura.
Beliau berkata: “Operasi ini mencerminkan perkongsian yang kukuh dan telah lama terjalin antara SPF dengan PDRM, serta komitmen bersama kami untuk memastikan komuniti kita selamat.”
