JOHOR BAHRU: Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, enam lelaki tempatan ditahan, dan pelbagai jenis narkotik bernilai RM4.77 juta ($1.54 juta) dirampas dalam operasi serentak di Johor Bahru pada 7 dan 8 Mei.

Pemangku Ketua Polis Johor Deputi Superintendan, Hoo Chuan Huat, mengumumkan penangkapan lima lelaki berusia 27 hingga 50 tahun, termasuk ketua sindiket, dalam operasi awal yang digerakkan pada 11 pagi oleh JSJN IPK Johor di tiga lokasi.

Serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, menyaksikan dua individu dicekup bersama 20.47 kilogram (kg) disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 14,800 biji pil erimin 5, 1.44 kg serbuk ecstasy, 1,055 biji pil ecstasy dan 146 gram ketamin, selain peralatan membungkus dadah.

Satu penahanan dibuat di Bandar Seri Alam tanpa rampasan, manakala serbuan di tempat letak kereta Permas Jaya menahan dua lagi suspek bersama 4.40 gram ketamin.

“Nilai keseluruhan pasaran gelap dadah yang dirampas mencecah RM3.65 juta.

“Sindiket dipercayai aktif sejak Mac lepas dan menjadikan rumah jenis pangsapuri berpagar dan berkawal untuk menyimpan dan membungkus semula bekalan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPK Johor pada 11 Mei.

Aset seperti empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM7,750, $308 dolar Singapura, dan barang kemas (dua cincin, satu loket, satu rantai emas) turut disita, lapor Harian Metro.

Encik Hoo menyatakan saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif methamphetamine dan seorang positif ketamin. Kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 8 Mei, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi kedua, seorang lelaki 21 tahun yang dipercayai mengetuai sindiket pengedaran dadah secara bersendirian ditahan di sebuah rumah di Taman Perling pada 8 Mei.

Rampasan termasuk pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.12 juta: 11.54 liter cecair ketamin dalam 23 botol dan 21 katrij, 3.61 kg serbuk MDMA, 150 gram serbuk ecstasy, 40 pil ecstasy, dan 19.30 gram ketamin, selain peralatan membungkus bahan terlarang.

“Suspek, yang positif ketamin dan mempunyai rekod lampau, dipercayai aktif mengedar sejak Januari. Dia menggunakan rumah teres sebagai gudang simpanan dan pembungkusan semula untuk pasaran tempatan,” katanya.

Suspek tersebut direman selama tujuh hari mulai 9 Mei, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.