Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki langgar mati 3 warga Pakistan di Perak mengaku ambil dadah

Apr 12, 2024 | 3:40 PM
Pemandu kereta, Mohd Azizol Abd Rasheed, 36 tahun, yang terlibat dalam kejadian langgar mati tiga warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 10 April, mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret pada 12 April.
Pemandu kereta, Mohd Azizol Abd Rasheed, 36 tahun, yang terlibat dalam kejadian langgar mati tiga warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 10 April, mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret pada 12 April. - Foto BERNAMA

TELUK INTAN (Perak): Pemandu Proton Saga, yang melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 10 April, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 12 April dan mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36 tahun, membuat pengakuan itu sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan tuduhan, pembantu kedai makan itu didakwa mengambil dadah berbahaya jenis tetrahydro-cannabinol (THC).

Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 ($1,423) atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai berdekatan setiap dua minggu sekali.

Mahkamah turut menetapkan 5 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan laporan patologi, lapor Berita Harian Malaysia

Pada 10 April, tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong di sini, kereta Proton Saga dipandu suspek terbabas dan melanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Sementara itu dalam kes berkaitan, empat lelaki warga Pakistan direman selama empat hari sehingga 15 April kerana merusuh dan memukul pemandu Proton Saga yang menyebabkan kematian tiga rakan senegara mereka itu.

Perkara itu diputuskan Majistret T Ashvinii di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 12 April bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 24 hingga 49 tahun dan bekerja sebagai buruh sawit ditahan pada 4.20 petang 11 April selepas pemandu Proton Saga terbabit membuat laporan polis menyatakan dia cedera di kepala akibat dipukul.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Ahmad Adnan Basri, dilaporkan berkata mereka ditahan selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular di laman sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg