Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki larikan 2 budak perempuan di Selangor dijel 2 bulan

Jul 25, 2024 | 1:06 PM
culik
Peniaga pisang goreng, Mohamed Shahriza Othman (kanan), dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas kesalahan melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas di Jeram Kuala Selangor. - Foto NSTP

SUNGAI BESAR (Selangor): Seorang peniaga pisang goreng yang melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas di Jeram, Kuala Selangor, pada 19 Julai lalu dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 25 Julai.

Majistret Siti Hajar Ali memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamed Shahriza Othman, 32 tahun, mengaku bersalah sejurus tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bapa kepada dua anak itu juga didenda keseluruhan RM2,000 ($575) dan jika gagal membayarnya boleh dipenjara tambahan dua bulan.

Mengikut tuduhan, Mohamed Shahriza didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaganya yang sah.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Ikan Emas di Kuala Selangor, pada 6.30 petang 19 Julai lalu, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Encik Muhd Muqri Mohd Khairi, yang mewakili tertuduh, dalam rayuannya menyatakan tertuduh adalah penyara tunggal kepada isteri dan dua anak yang masih bersekolah dengan anggaran pendapatan bulanan RM2,000.

“Tujuan tertuduh berbuat demikian (menculik) kerana menginginkan anak perempuan. Setakat ini, belum ada rezeki dengan kedua-dua anak tertuduh adalah lelaki,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal, bagaimanapun memohon hukuman berat kerana kesalahan itu membabitkan kepentingan awam.

Majistret Siti Hajar dalam penghakiman menegaskan tindakan tertuduh mengaku bersalah adalah jelas menzahirkan kekesalan dan keinsafan atas insiden yang telah berlaku

“Namun begitu, hukuman harus bersifat pencegahan dan faktor kepentingan awam agar memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Kesalahan culik berleluasa sekarang dan satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta berwarna hitam di Taman Ikan Emas.

Mereka kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa, berhampiran rumah mangsa pada 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg