Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak hilang di JB ditemui selamat di Selangor, 5 suspek ditahan

Jul 23, 2024 | 4:13 PM
Kanak-kanak enam tahun, Albertine Leo Jia Hui (kiri) ditemui disembunyikan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor. (Gambar atas kanan) Empat suspek kes penculikan direman empat hari. (Gambar bawah) Seorang lagi suspek yang berada bersama mangsa di Batang Kali dibawa ke Johor Bahru untuk direman.
Kanak-kanak enam tahun, Albertine Leo Jia Hui (kiri) ditemui disembunyikan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor. (Gambar atas kanan) Empat suspek kes penculikan direman empat hari. (Gambar bawah) Seorang lagi suspek yang berada bersama mangsa di Batang Kali dibawa ke Johor Bahru untuk direman. - Foto SINAR HARIAN

Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ditemui selamat pada 23 Julai di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, selepas dilarikan penculik lebih 370 kilometer dari pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor.

Lima suspek termasuk tiga lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui, pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, mengesahkan kanak-kanak itu ditemui disorok di hotel murah berkenaan tanpa sebarang kecederaan atau perubahan fizikal seperti dakwaan rambutnya sudah dipotong.

Beliau berkata kanak-kanak itu berada bersama seorang suspek lelaki di hotel tersebut dan telah diselamatkan sekitar 4.45 pagi.

“Empat suspek sudah direman empat hari sehingga 26 Julai, manakala seorang lagi yang ditahan bersama mangsa akan dibawa pulang ke Johor untuk dapatkan perintah tahanan reman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak.

Encik Kumar berkata motif penculikan kanak-kanak itu masih dalam siasatan.

“Semua suspek tiada hubungan dengan mangsa dan tiada panggilan meminta wang tebusan dibuat, maka motif penculikan masih dalam siasatan. Polis turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa lari mangsa ke Selangor,” katanya.

Tangkapan pertama dalam kes berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita kira-kira 1.30 petang 22 Julai, sebelum tangkapan seorang lagi wanita pada lewat malam hari sama. Seorang lagi suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan pada 4.45 pagi 23 Julai di Batang Kali bersama kanak-kanak terbabit.

Berita penemuan anak ketiga dari empat beradik itu melegakan kedua ibu bapanya yang kemudian bergegas ke Selangor, sebaik menerima makluman daripada polis.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut meuar-uarkan berita kehilangan kanak-kanak itu melahirkan kesyukuran atas penemuan Albertine dan menyatakan penghargaan atas kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bantuan rakyat Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak berkenaan.

Kehilangan Albertine disedari bapanya pada 8.30 malam 20 Julai lalu, ketika bermain dan terpisah daripada keluarganya ketika acara Bon Odori di Eco Galleria. Kes berkenaan awalnya disiasat atas laporan orang hilang, namun diklasifikasikan semula kepada kes culik.

Berita kehilangan Albertine menarik perhatian ramai sehingga seorang pemilik kafe di Johor Bahru menawarkan ganjaran RM10,000 ($2,878), manakala sebuah syarikat konsultan menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang berjaya menemukan kanak-kanak terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg