Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak mangsa culik di JB kembali ke pangkuan keluarga

Jul 24, 2024 | 2:22 PM
Foto yang dikongsi pemilik akaun Facebook Barbie Hui Hui, memaparkan Albertine Leo Jia Hui (belakang, kanan), kanak-kanak perempuan enam tahun yang diculik, sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor.
Foto yang dikongsi pemilik akaun Facebook Barbie Hui Hui, memaparkan Albertine Leo Jia Hui (belakang, kanan), kanak-kanak perempuan enam tahun yang diculik, sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor. - Foto FACEBOOK BARBIE HUI HUI

Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak enam tahun mangsa culik di Iskandar Puteri, Johor, pada 20 Julai lalu, selamat kembali ke pangkuan keluarganya di Johor Bahru.

Kegembiraan menyambut kepulangan Albertine dikongsi pemilik akaun Facebook Barbie Hui Hui, dipercayai saudara kepada keluarga kanak-kanak perempuan itu.

Menerusi perkongsian itu, ada gambar mangsa bersama ibunya, Cik Qieo Xin, 37 tahun, dan beberapa individu dipercayai ahli keluarga di hadapan sebuah restoran di Johor Bahru.

Wanita berkenaan turut mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kebimbangan masyarakat terhadap kes itu dan bersyukur Albertine selamat serta kembali kepada keluarga.

“Terima kasih atas keprihatinan seluruh masyarakat. Albertine selamat, namun keletihan dan trauma disebabkan insiden yang berlaku beberapa hari ini.

“Kami akan bawa dia pulang untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga terdekat bagi memastikan keadaannya terus baik,” katanya dalam satu hantaran yang menerima lebih 15,000 tanda suka.

Albertine yang dilaporkan hilang ditemui selamat pada 23 Julai di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, selepas dilarikan penculik lebih 370 kilometer dari pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor.

Lima suspek termasuk tiga lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu, pada 20 Julai lalu.

Sejurus ditemui di hotel murah berkenaan, Albertine dibawa ke sebuah hospital di Selangor untuk pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan pulang kira-kira 1 petang pada 23 Julai. Kanak-kanak itu kemudian dibawa pulang ke Johor dengan pengawasan dan diiringi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya M Kumarasan pada 24 Julai berkata tiada tangkapan baru dibuat polis berhubung kes penculikan Albertine.

Beliau berkata polis masih giat menjalankan siasatan mengenal pasti motif kejadian terhadap lima suspek yang telah ditahan reman sejak 23 Julai.

“Tiada tangkapan baru. Mengenai motif kejadian dan hubungan suspek dengan ibu atau bapa mangsa, beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut dengan terperinci dan kemudian akan dikongsi kepada umum,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak.

Kehilangan Albertine disedari bapanya pada 8.30 malam 20 Julai lalu, ketika bermain dan terpisah daripada keluarganya ketika acara Bon Odori di Eco Galleria.

Kes berkenaan awalnya disiasat atas laporan orang hilang, namun diklasifikasikan semula kepada kes culik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg