Johor Bahru: Seorang lelaki maut ditembak di kawasan kedai di Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah di sini, pada tengah hari 8 Januari.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa makan tengah hari bersama rakannya.
Seorang pengunjung di tempat kejadian berkata beliau terkejut mendengar bunyi bising dan awalnya menjangka ia bunyi mercun.
“Kami melihat motosikal memecut dari tempat berkenaan dan seorang lelaki terbaring di lantai di hadapan restoran berkenaan,” katanya ketika ditemui pada 8 Januari, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tembakan itu.
Beliau berkata kejadian membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari dan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melaporkan kejadian itu. Katanya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut.
“Polis mengesan sama ada ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan dan premis perniagaan berhampiran.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek, saksi kejadian dan motif kejadian,” katanya.
Katanya, polis juga menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg