KUALA LUMPUR: “Anak saya memang gemar melakukan aktiviti menyelam dan banyak tempat sudah beliau pergi bersama rakan-rakan dan isterinya,” kata Encik Halim Abu Hassan.
Encik Halim, bapa kepada Encik Haikal Rafie Halim, 33 tahun, yang meninggal dunia selepas menjalani aktiviti menyelam di kawasan perairan Iboih di Kota Sabang, Aceh, Indonesia pada Sabtu.
Halim berkata anaknya itu bersama isteri dan rakan-rakan seramai 10 orang pergi ke sana pada Khamis lalu dan sempat menghantar gambar ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mereka juga ada menghubungi isteri saya dan kami sempat memberi kata-kata ucapan dan selamat
“Malah, sebaik sampai di sana, menantu saya sempat menghantar gambar dan membuat panggilan video ketika berada di chalet di sana (Aceh).
Namun ketika itu anak saya lebih banyak berdiam dan menantu saya yang berbual lama dengan kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Katanya, anaknya memang selalu melakukan aktiviti menyelam antaranya di Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan banyak lagi tempat lain.
“Saya pun hanya mengetahui kejadian menimpanya pada 1.30 petang Sabtu selepas rakannya menghubungi memaklumkan kejadian itu.
“Cuma apa yang berlaku sebenarnya saya masih tidak tahu, tambahan pula menantu saya masih dalam keadaan tidak stabil untuk bercerita,” katanya.
Menurut Halim, jenazah anaknya dibawa pulang petang Ahad, sebelum dibawa terus ke Rasa, Hulu Selangor untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Rasa.
Harian Metro telah melaporkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia selepas menjalani aktiviti menyelam di kawasan perairan Iboih di Kota Sabang, Aceh.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 9.30 pagi waktu tempatan ketika lelaki berusia 33 tahun terbabit bersama dua rakan juga rakyat Malaysia dengan ditemani seorang jurulatih menyelam di lokasi kejadian.
Memetik portal Berita Rakyat Aceh, polis Indonesia yang menerima laporan mengenai kejadian bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan itu, selepas menyelam 20 minit pada kedalaman 30 meter kumpulan penyelam terbabit dihanyutkan arus bawah laut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg