MACHANG (Kelantan): Hasrat sebuah keluarga untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Machang–Pasir Puteh berhampiran Kampung Banggol Judah pada 1 Jun tengah malam.
Dalam kejadian sekitar 11.50 malam itu, pemandu kereta Proton Waja, Encik Zulkifli Salleh, 54 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kenderaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Encik Mohd Suhaimi Razali, berkata pemandu kereta Proton Waja yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.55 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seramai enam orang termasuk seorang mangsa menaiki kereta tersebut dan mereka sedang dalam perjalanan dari Terengganu untuk pulang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha di Tanah Merah, Kelantan, lapor Kosmo!.
“Kemalangan itu juga melibatkan sebuah trak pikap yang dinaiki lima individu dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki tiga beranak termasuk dua kanak-kanak yang berusia empat dan tujuh tahun.
“Lima penumpang kereta jenis Proton Waja yang cedera dan tiga beranak yang menaiki kereta Perodua Kancil di hantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Encik Mohd Suhaimi memberitahu lima mangsa di dalam trak pikap yang turut cedera dihantar ke Hospital Tanah Merah.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres dan Perodua Myvi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kelantan pada 30 Mei lalu selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru pada pukul 10 pagi pada 1 Jun.
Jenazah Encik Mohamad Faris Kamaludin, 24 tahun, dan Cik Nur Atikah Najihah Mohd. Shah Penilzain, 18 tahun, dikebumikan dalam liang lahad berasingan.
Dalam kejadian pada 30 Mei lalu, kemalangan yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu turut mengorbankan ibu Nur Atikah Najihah iaitu Cik Nurul Ain Abdul Rahim, 39 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg