MUAR (Johor): Seorang lelaki maut rentung selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Muar, pada 4 Julai.
Dalam kemalangan sekitar 4 pagi itu, dua anggota polis turut cedera parah selepas kereta peronda yang mereka naiki turut terbabas ke dalam parit yang sama.
Kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata nahas itu dikatakan berpunca apabila kereta yang dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Beliau berkata sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun daripada cawangan kereta peronda sedang menjalankan rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.
“Namun, suspek cuba mengelak dengan memecut kereta Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran supaya suspek memberhentikan kenderaan, namun sebaliknya terus memecut.
“Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit yang sama.
“Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung manakala dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Encik Raiz Mukhliz berkata mayat suspek dibawa ke hospital untuk bedah siasat serta menjalani ujian DNA bagi mengenal pasti identitinya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg