KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Singapura berusia 49 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Johor selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya jatuh gaung sebelum masuk ke dalam Sungai Ulu Sedili di Johor pada 15 Mac.
Encik Christopher Lim sedang memandu di Jalan Kota Tinggi-Mersing apabila beliau dipercayai hilang kawalan kereta Toyota Alphard miliknya, sehingga ia terbabas ke dalam sungai tersebut, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan.
Lapan pegawai telah dikerah ke tempat kejadian selepas beberapa orang membuat panggilan kecemasan sekitar 4 petang.
Pasukan penyelamat mendapati lelaki tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan keretanya separuh tenggelam dalam sungai itu.
Bonet kereta tersebut kelihatan remuk dan cermin depannya pecah.
Pemandunya hampir lemas apabila air mencurah masuk ke dalam keretanya, menurut The Straits Times (ST) yang menukil laporan China Press pada 16 Mac.
Mangsa dilaporkan dalam keadaan tidak sedar pada satu ketika, namun dapat bernafas sendiri ketika pasukan penyelamat mengeluarkannya dari kereta.
Beliau kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berkata pemandu tersebut yang mungkin pemandu pelancong, masih belum sedar kerana mengalami kecederaan jantung.
Polis sedang menyiasat punca kemalangan itu.
Kemalangan tersebut berlaku selepas mayat seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun ditemui pada 12 Mac, beberapa hari selepas keretanya terjunam ke dalam gaung di Pulau Pinang.
Satu lagi kemalangan jalan raya pada 11 Mac di Sabah turut meragut nyawa seorang lelaki warga Singapura berusia 60 tahun dan seorang wanita warga Vietnam. Empat lagi warga Singapura cedera dalam nahas tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg