Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancong S’pura maut, 4 parah dalam nahas di Sabah

Mar 12, 2024 | 1:56 PM
Van pelancong yang terbabit dalam kemalangan dengan treler yang hilang kawalan di Kilometer 21, Jalan Semporna-Tawau, Sabah, pada 11 Mac menyebabkan seorang pelancong warga Singapura maut, manakala empat lagi warga Singapura parah.
Van pelancong yang terbabit dalam kemalangan dengan treler yang hilang kawalan di Kilometer 21, Jalan Semporna-Tawau, Sabah, pada 11 Mac menyebabkan seorang pelancong warga Singapura maut, manakala empat lagi warga Singapura parah. - Foto BOMBA SEMPORNA

SEMPORNA: Dua pelancong asing termasuk seorang warga Singapura maut, manakala lima cedera dengan empat daripadanya parah selepas van pelancong yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 21, Jalan Semporna-Tawau, di Sabah.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang 11 Mac itu, mangsa lelaki warga Singapura, Encik Lee Siong Huat, 60 tahun, dan pelancong wanita warga Vietnam, Cik Ngo Trinh Buu Dung, 40 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata nahas berlaku apabila treler dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong kanan, sebelum bertembung dengan van pelancong yang datang dari arah bertentangan.

“Lima lagi mangsa iaitu pemandu van warga tempatan dan empat lelaki warga Singapura yang parah dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Mohd Farhan berkata pemandu lori treler kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Encik Mazlan Sarman, berkata seramai lima anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.03 petang.

“Tujuh pelancong asing yang berada dalam van itu berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memandang serius kemalangan jalan raya membabitkan pelancong sehingga menyebabkan kematian di negeri ini.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata kemalangan terbaru yang menyebabkan kematian dua pelancong asing di Semporna itu perlu diberikan perhatian bagi menjaga imej sektor pelancongan Sabah.

Katanya beliau akan membincangkan kaedah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dengan pihak yang berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg