Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ‘suka-suka’ tawar habuan RM5j bunuh Anwar: Polis

Dec 1, 2023 | 12:02 PM
DIUGUT BUNUH: Seorang pengguna TikTok yang menawarkan ganjaran RM5 juta ($1.43 juta) untuk membunuh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), ditahan polis.
DIUGUT BUNUH: Seorang pengguna TikTok yang menawarkan ganjaran RM5 juta ($1.43 juta) untuk membunuh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), ditahan polis. - Foto FACEBOOK DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Lelaki yang menawarkan ganjaran RM5 juta ($1.43 juta) untuk membunuh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didapati berbuat demikian sekadar suka-suka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan terhadap suspek berusia 34 tahun telah selesai dan hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai baru mula menggunakan aplikasi TikTok.

“Dia dipercayai melakukan perkara itu untuk suka-suka menerusi akaun TikTok Jaiadani89.

“Kami sedang menyiapkan kertas siasatan dan dijangka menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 4 Disember ini,” katanya, lapor The Star.

Pada 28 November lalu Berita Harian Malaysia melaporkan, polis menahan seorang individu di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan, dipercayai suspek yang menawarkan habuan jutaan ringgit untuk membunuh Perdana Menteri.

Tan Sri Razarudin berkata suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Berita Harian Singapura melaporkan, tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri Malaysia, menteri dan ahli sebuah parti politik.

Bagaimanapun, video tersebut sudah dipadamkan.

Susulan ugutan bunuh itu, satu laporan polis kemudian telah dibuat terhadap individu itu pada 26 November oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.

Timbalan Ketua AMK, Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata komen ugutan itu berpunca daripada politik kebencian yang disokong secara meluas oleh pihak tertentu.

Encik Muhammad Kamil menggesa polis agar segera menjalankan siasatan lanjut dan bertindak tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab itu yang dilihat boleh mengganggu-gugat keselamatan serta keharmonian.

Beliau juga khuatir sekiranya perkara itu dibiarkan, lebih ramai individu tidak bertanggungjawab akan sewenang-wenangnya membuat kenyataan menghasut orang awam agar membuat ancaman bunuh dan mencetuskan budaya ekstremis.

Tan Sri Razarudin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi jaminan pesalah akan dikenakan hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg