BALING (Kedah): Lelaki yang menikam neneknya sehingga mati selain turut menetak moyangnya di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, dekat Kuala Ketil, di sini pada 16 Disember dikatakan sering berhalusinasi.
Perkara itu disahkan adik kepada lelaki tersebut dengan gangguan halusinasi itu dikatakan dialami sejak usia 18 tahun.
“Abang alami gangguan dan berhalusinasi, malah kadang-kadang cakap seorang diri… keadaan itu berlaku sejak usianya 18 tahun tetapi dia tak kacau orang.
“Lepas dia tikam tok (nenek) dan tetak moyang, dia suruh buat laporan polis sambil beritahu suruh datang tengok tok pengsan atau tidak, “ kata remaja perempuan berusia 19 tahun itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menikam neneknya berusia 65 tahun sehingga maut serta menetak moyangnya berusia 80 tahun hingga parah.
Suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan polis untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Mengulas lanjut, adik suspek berkata ketika kejadian, hanya nenek, moyang dan ibu saudaranya berusia 28 tahun yang juga anak istimewa berada di rumah itu bersama suspek, manakala bapa saudaranya yang tinggal bersama di rumah itu tiada di rumah.
“Saya terkejut menerima panggilan daripada ibu saudara pada 6.44 petang semalam.
“Ketika itu saya teman ibu balik ke Penaga, Pulau Pinang, kerana kami menetap di sana.
“Saya dan abang (suspek) selalu datang bermalam di rumah nenek dan abang pula dah lama tak balik sini... dia tiba-tiba ajak mak balik sini walaupun mak kata tak ada duit, dia ajak balik sini juga hinggalah kejadian itu berlaku,” katanya, mengakui tidak tahu kenapa abangnya bersikap sebegitu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg