KUALA PILAH (Negeri Sembilan): Suspek kes tembak seorang lelaki yang juga pencari petai di Kampung Maasop, dekat Senaling di sini pada 12 Disember ditahan polis pada 14 Disember.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 40-an tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di Sabah, hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri itu.
“Suspek kini ditahan reman bermula kelmarin dan siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat secara langsung kejadian berkenaan.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang mempunyai kaitan kes itu,” katanya mengesahkan suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 12 Disember lalu, seorang lelaki dilapor cedera dipercayai ditembak individu tidak dikenali semasa mencari petai di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling.
Mangsa, 47 tahun, berada di lokasi seorang diri dan lelaki itu dikatakan terkena tembakan peluru penabur di bahagian rusuk sebelah kanan dan belakang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg