KUALA LUMPUR: Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, kembali mendapat perhatian menyusuli jangkaan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September, dengan perkara berkenaan dipercayai antara isu yang akan dibincangkan.

Perkembangan itu kemudian mendorong gabungan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semula pendiriannya, bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh yang dijatuhkan mahkamah.

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) pada 9 September, sumber memaklumkan Lembaga Pengampunan dijangka membincangkan permohonan pengampunan Encik Najib.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada mesyuarat itu akan membuat keputusan atau sekadar membincangkan permohonan bekas Presiden Umno itu.

Satu lagi sumber yang dipetik FMT berkata ada kemungkinan Encik Najib dibenarkan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan rumah.

Terdahulu Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan di Facebook pada malam 8 September menegaskan, gabungan itu memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan Madani dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Kenyataan itu menyebut PH sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta salah guna kuasa berpendirian bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, terutama melibatkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain,” kata kenyataan itu.

Ia turut menyebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Madani telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa dan momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara.

“Ini penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Maka, sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut,” katanya.

Kenyataan itu dibuat menyusuli laporan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat pada 11 September untuk mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk permohonan pengampunan Encik Najib.

Sin Chew Daily terlebih dahulu melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh, yang menganggotai lembaga itu, memberi taklimat kepada Majlis Presiden PH pada malam 8 September.

Encik Najib, 72 tahun, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu dikenakan denda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang mula dijalaninya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Pada 22 Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Encik Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan dalam kes SRC International sebagai tahanan rumah.

Encik Najib pada mulanya merayu keputusan itu, namun kemudian menarik balik rayuannya selepas pasukan peguamnya memfailkan notis pemberhentian rayuan.