JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan membatalkan lesen peniaga tempatan yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan atau Aidilfitri kepada warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata tindakan itu akan juga diambil terhadap perbuatan ‘sewa atas sewa’ membabitkan peniaga warga asing.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini, kita tidak mengeluarkan lesen bazar kepada peniaga asing dan juga jika ada sewa atas sewa, kita akan batalkan lesen itu dengan segera,” katanya selepas membuat tinjauan bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Malaysia mengenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan bazar Ramadan serta-merta jika ada peniaga memindahkan atau ‘menjual’ lesen itu kepada pihak ketiga.
Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan saban tahun selepas ada ejen menawarkan sewa tapak dan mengambil kesempatan mendapatkan komisen besar.
Malah, ada penjawat awam tahu mengenai kegiatan itu dan turut bersekongkol.
Sementara itu, Datuk Mohd Jafni, berkata pihaknya tidak menghalang kreativiti peniaga dalam berniaga, namun mereka perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan.
Bagi memastikan peniaga baza mematuhi semua peraturan, beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KKM akan bertindak memastikan peniaga ini mematuhi peraturan dari segi penyediaan makanan mereka, termasuk pengambilan suntikan tifoid dan sebagainya.
KPDN pula memantau dari segi kawalan harga di bawah Akta Antipencatutan 2011.
“Sebenarnya, penganjur bazar sudah tahu garis panduan yang ditetapkan di PBT yang perlu mereka patuhi, tetapi KKM dan KPDN akan sentiasa buat pemantauan dan pemeriksaan.
“Jika mereka tidak patuhi peraturan, tindakan akan diambil ke atas mereka,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata pada 2025, secara keseluruhan 12,757 petak jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri diluluskan kerajaan Johor di 228 lokasi di seluruh kawasan 16 pihak berkuasa tempatan.
Ia merangkumi 11,202 petak jualan di 200 lokasi bagi bazar Ramadan dan 1,555 petak di 28 lokasi bagi bazar Aidilfitri.
“Ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak kira-kira 3 peratus dari jumlah tahun lalu (2024),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg