BALING (Kedah): Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan di sini pada 2 Mac.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang hari pertama Ramadan itu, Encik Zainon Said, 75 tahun, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, dilihat tiba-tiba rebah dan dipercayai meninggal dunia akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden (SP) Azmi Mokhtar, berkata seorang anak lelaki beliau yang berusia 51 tahun menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan bahawa bapanya tidak sedarkan diri di bazar itu.
Beliau kemudian menghubungi Pejabat Kesihatan Kupang.
“Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) tiba di tempat kejadian dan menjalankan siasatan sebelum mendapati warga emas terbabit sudah meninggal dunia.
“Hasil temu bual dengan salah seorang anak warga emas itu mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta pernah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.
“Warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius, dan ditahan di wad selama seminggu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
SP Azmi berkata hasil siasatan seterusnya mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
Ketika kejadian, beliau berkata, ada saksi melihat mangsa tiba-tiba rebah dan pengsan sebelum dipercayai meninggal dunia dipercayai atas sebab penyakit kronik yang dihidapi warga emas itu.
Mayat dibawa pulang ke rumah mangsa di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg