Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lesen pusat cuci boleh dibatal jika hanya layan kereta S’pura

Jul 28, 2025 | 2:00 PM
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah supaya membatalkan lesen perniagaan premis cuci kenderaan yang mengamalkan dasar menyisihkan pelanggan tempatan.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah supaya membatalkan lesen perniagaan premis cuci kenderaan yang mengamalkan dasar menyisihkan pelanggan tempatan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah diarah agar menjalankan siasatan terhadap dakwaan sebuah pusat cuci kenderaan di bandar itu yang hanya menawarkan perkhidmatan kepada kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata lesen perniagaan pusat berkenaan akan dibatalkan jika didapati terus mengamalkan dasar menyisihkan pelanggan tempatan.

“Kita memandang serius isu ini yang tular di media sosial. Saya telah arahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyiasat dan bertindak tegas sekiranya perkara ini masih berulang.

“Kita cuma terima satu laporan dan jangkaan laporan siasatan akan diperoleh pada 28 Julai.

“Hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan dimiliki oleh warga tempatan tetapi menggaji pekerja asing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada 28 Julai.

Menurut Datuk Mohd Jafni, tindakan tegas termasuk penarikan balik lesen akan diambil sekiranya pemilik pusat cuci kereta berkenaan tidak menghentikan peraturan hanya menerima kenderaan dari Singapura.

“Saya beri amaran kepada peniaga pusat cuci kenderaan yang kenakan syarat hanya kereta warga Singapura boleh cuci di premis mereka – saya akan arahkan PBT tarik lesen mereka jika perkara ini terus berlaku,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan peniaga di Johor agar tidak hanya mengejar keuntungan besar dengan mengutamakan pelanggan asing, sebaliknya perlu melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap rakyat tempatan.

“Kita faham peniaga mahu keuntungan, tetapi dalam masa yang sama perlu ingat tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga penting. Jangan sampai rakyat tempatan rasa terpinggir di tanah sendiri.

“Sama seperti pemaju yang terlibat dalam pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), walaupun mereka meraih untung, mereka tetap perlu membina rumah mampu milik sebagai sumbangan CSR agar rakyat merasai manfaat daripada pembangunan,” katanya.

Sebelum itu, satu perbualan tular di laman sosial Threads mendakwa sebuah pusat cuci kereta di Johor Bahru menolak pelanggan tempatan, dan hanya menerima kenderaan dari Singapura.

Premis berkenaan dikatakan dikendalikan pekerja warga asing yang memaklumkan bahawa tempat mencuci telah ditempah sepenuhnya oleh pelanggan dari Singapura.

Datuk Mohd Jafni turut menasihati semua pengusaha perniagaan di negeri ini agar tidak mengambil kesempatan atas limpahan kehadiran warga asing dengan menyisihkan rakyat tempatan.

“Keuntungan tidak boleh mengatasi keadilan sosial.

“Setiap perniagaan yang beroperasi di Johor perlu mematuhi etika dan peraturan yang menitikberatkan keadilan kepada semua pihak,” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg