SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kira-kira RM40 juta ($12.1 juta) bagi proses baik pulih rumah yang terjejas insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada awal April.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata proses baik pulih tersebut bermula seawal minggu ini bagi mempercepatkan fasa pemulihan kepada penduduk yang terbabit.
Beliau berkata proses baik pulih berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu pertama membabitkan kerosakan kecil yang dianggarkan bawah RM30,000.
“Bagi kerosakan bawah RM30,000, penduduk boleh membaiki sendiri dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya ketika berucap pada penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden tersebut pada 30 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Amirudin berkata kerosakan lain pula akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.
Katanya, bagi kawasan Putra Heights, proses baik pulih akan dilakukan Sime Darby yang juga pemaju kawasan berkenaan dengan dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan.
“Bagi Kampung Sungai Baharu pula, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung.
“Proses baik pulih ini akan menyiapkan kemudahan asas. Makna sebuah rumah akan dilengkapi pendawaian dan boleh didiami kembali,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, berkata sejumlah RM6 juta lagi diperuntukkan bagi kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Memberi perincian, Encik Nga berkata terdapat tiga kategori bagi kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah yang terkesan iaitu rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus; rumah mengalami kerosakan 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula; dan rumah-rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.
“Bagi pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit; bagi kerosakan 40 peratus yang tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling bagi baik pulih sebanyak RM150,000 manakala bagi kerosakan kurang 40 peratus, kos siling adalah sebanyak RM30,000,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg