Hampir sebulan selepas tragedi letupan dan kebakaran besar saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, ia bukan saja memusnahkan keriangan Syawal buat penduduk terjejas, malah meninggalkan kesan traumatik dan psikologi sehingga hari ini.
Walaupun banyak bantuan dihulurkan pelbagai pihak khususnya daripada kerajaan, ternyata insiden tidak diduga yang sekelip mata meranapkan kediaman penduduk dan merosakkan harta benda sehingga kerugian ratusan juta ringgit, bukan sesuatu yang mudah diterima.
Apatah lagi, ada segelintir mereka bergantung sumber pendapatan dengan berniaga dan menyewakan rumah di kawasan kejadian, namun kejadian malang itu menyebabkan ada yang hilang mata pencarian berikutan tapak kejadian kini ibarat medan perang dan keadaan tidak lagi sama seperti sebelumnya.
Berita Minggu (BM) sempat meninjau tempat kejadian dan mendapati di sebahagian kawasan yang teruk terjejas hanya kelihatan rumah yang musnah, tumbuhan mengering dan terbakar selain tanah hitam kesan letupan dan kebakaran paip gas milik Petronas, pada pagi Syawal kedua, 1 April lalu.
Laluan masuk ke tapak kejadian pula masih dikawal ketat polis yang berkawal 24 jam di khemah yang dibina di situ.
Langkah tersebut bagi memastikan tiada kes kecurian barangan milik penduduk di kawasan kejadian.
Beberapa penduduk yang ditemui BM, berkata kejadian ngeri itu akan kekal di ingatan, malah kebanyakan mereka kini amat sensitif dan mudah terkejut dengan sebarang bunyian kuat.
Mengimbau kejadian di pagi Syawal itu, Cik Faizura Zakaria, 50 tahun, berkata mereka sekeluarga sedang bersarapan, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi gas kuat dari kawasan kejadian kira-kira 100 meter dari rumahnya, disusuli letupan kuat dan api yang menjulang tinggi sehingga menyebabkan rasa bahang panas yang tidak pernah dirasai seumur hidupnya.
“Mujur saya dan keluarga sempat lari menyelamatkan diri menaiki kereta ke kawasan jauh daripada rumah. Tetapi ketika anak saya memandu, beberapa bahagian kereta yang berasaskan plastik mencair dan rasa panas itu terasa sehingga ke dalam kereta.
“Akibat kejadian itu saya dan suami dimasukkan ke hospital. Suami saya menghidap strok dan pada hari kejadian kami mengalami darah tinggi dan jantung laju.
“Ia kejadian ngeri yang tidak akan kami lupakan, namun syukur kerana rumah saya tidak rosak teruk dan kami sekeluarga selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru.
Kata Cik Faizura, kejadian itu menyebabkan Aidilfitri 2025 tiada makna buat mereka dan tiada saudara mara berkunjung sebagaimana kelaziman berikutan bimbang keselamatan.
Sebagai penduduk yang tinggal begitu hampir dengan lokasi kejadian, Cik Faizura juga berkongsi rasa kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
Seorang penduduk lain yang enggan namanya disiarkan mendakwa kecewa dengan siasatan pihak berkuasa yang didakwa menyalahkan budak bermain mercun di kawasan kejadian sebagai punca, sedangkan ia dakwaan yang tidak masuk akal.
“Sebenarnya beberapa hari sebelum kejadian kami sudah ada bau gas yang mungkin sudah berlaku kebocoran ketika itu.
“Malah, kami sendiri nampak kerja-kerja dilakukan berhampiran kawasan paip Petronas itu dan memang bimbang dengan keselamatan. Tak sangka akhirnya kebimbangan itu menjadi nyata,” katanya yang mengalami kerosakan rumah agak serius.
Sementara itu Cik Fazida Zakaria, 44 tahun, pula terpaksa mengeluarkan wang tambahan daripada poket sendiri untuk membaiki kerosakan kediaman dan harta benda yang terbakar dan mencair akibat kebakaran itu.
Cik Fazida benar-benar berharap pihak berwajib mengambil iktibar daripada kejadian dan lebih bertanggungjawab dalam setiap pembangunan bagi mengelak kejadian serupa berulang.
“Memang kami terima bantuan RM5,000 ($1500), tetapi ia tidak mencukupi untuk membaiki kerosakan rumah dan menggantikan barangan rosak. Suami saya pula hanya bekerja di kilang tayar dan saya suri rumah.
“Jadi agak berat juga untuk keluar belanja membaiki apa yang rosak, tetapi terpaksalah korbankan wang sendiri. Tambahan, rumah kami turut dilanda banjir selepas kejadian itu,” kongsinya.
Sehingga laporan ini ditulis, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan punca kejadian, namun kelancarannya agak terganggu berikutan keadaan cuaca yang kerap hujan kebelakangan ini menyulitkan kerja mendapatkan sampel spesimen di tapak letupan paip gas itu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, walaupun jangkaan laporan boleh dikeluarkan lebih awal tetapi tugas forensik itu diganggu oleh cuaca hujan.
“Kita masih lagi mengalami kesulitan kerana keadaan cuaca (memandangkan) hujan setiap hari. Pada dasarnya, agensi tindak balas sudah ‘expose ground’ itu sehingga menimbulkan paip yang terbabit (dalam kejadian letupan itu).
“Sebahagian spesimen sudah diambil oleh pihak agensi tindak balas dan masih lagi menunggu serpihan yang paling bawah. Jadi akibat cuaca, hujan dalam minggu ini, kerja ini terganggu,” katanya.
Letupan dan kebakaran dahsyat itu menyebabkan sejumlah 81 kediaman musnah sepenuhnya dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina semula kediaman penduduk yang ranap dengan kos dibiayai kerajaan.
Ratusan lagi kediaman mengalami kerosakan kurang serius dan masih boleh didiami, namun masih memerlukan kerja baik pulih.
Setakat ini juga, seramai 18 mangsa kebakaran saluran paip gas itu masih dirawat di kemudahan kesihatan di Lembah Klang, manakala seramai 132 mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta sudah dibenarkan keluar setakat 24 April.
Dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights itu yang menggemparkan seluruh Malaysia, nilai kerugian akibat kemusnahan kediaman dan harta benda penduduk dianggarkan mencecah RM70 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg