Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia risau tragedi letupan Putra Heights berulang di Kedah

Apr 24, 2025 | 2:42 PM
Putra Heights, letupan, Petronas
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria. - Foto KOSMO!

ALOR SETAR (Kedah): Belum reda kes letupan dan kebakaran besar saluran paip gas milik Petronas di Subang Jaya, Selangor, pada 1 April, yang dikatakan berpunca daripada kerja mengorek tanah, satu lagi kebimbangan tragedi sama akan berulang di Pendang, Kedah.

Ini berikutan kerajaan negeri Kedah memaklumkan mengenai kes pencerobohan kawasan laluan paip gas milik Petronas dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Jagung dan Kampung Padang Pusing di Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata segelintir individu didakwa menceroboh kawasan tersebut bagi mengambil dan mengeluarkan tanah merah untuk membina rumah dan sebagainya.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah Pendang kepada kerajaan negeri Kedah, baru-baru ini.

“Semasa di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tadi, saya ada bangkitkan satu situasi di Pendang yang mana berlaku pencerobohan oleh orang kampung yang mengambil tanah merah atas jajaran paip gas.

“Kawasan yang diceroboh melibatkan kawasan lapang iaitu tanah kosong tanpa pokok serta dekat dengan rizab jalan (jalan simpanan).

“Ada beberapa rumah yang dibina di kawasan rizab jalan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, lapor Kosmo!.

Menurut Encik Mansor, kawasan diceroboh tidak terlalu luas, tetapi dibimbangi bahawa kerja mengorek tanah akan mengundang risiko, walaupun paip gas terletak lebih 6.4 meter bawah tanah.

“Ada kemungkinan kejadian itu (pencerobohan tanah) sudah berlaku sejak dua tahun lalu.

“Kita sudah meminta Petronas menutup kawasan itu supaya tiada lagi pencerobohan berlaku sebab ini bidang kuasa Petronas.

“Kita tidak mahu berlaku insiden seperti di Putra Heights,” ujarnya.

Menurut Encik Mansor, kerajaan negeri telah meminta Utiliti Infra Darul Aman (Uida) bekerjasama dengan Petronas untuk melakukan pemetaan semula dengan memasukkan kesemua jajaran paip gas Petronas dalam peta.

“Selepas ini, jika ada pembangunan pada masa hadapan atau yang berkaitan mendapatkan kebenaran untuk merancang pembangunan di kawasan itu, kita boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa kawasan itu mempunyai paip gas supaya tidak ada sebarang pembangunan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu pada sidang DUN, Encik Mansor berkata Petronas mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang telah menceroboh laluan tersebut.

Beliau berkata perbincangan dengan semua pihak termasuk Uida untuk membuat pemetaan semula laluan paip gas seluruh Kedah penting supaya tidak berlaku pertindihan dengan pembangunan masa depan. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg