Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima disengat obor-obor berbisa di pantai Terengganu

Feb 26, 2024 | 2:21 PM
Seorang kanak-kanak, Syed Syahir Rizqullah Tuan Amir Safuan, menunjukkan kesakitan yang dialaminya hingga ke paras bahu selepas memegang seekor obor-obor ketika berkelah bersama keluarganya di Pantai Beting Lintang, tidak jauh dari Bukit Kluang di Jertih, Terengganu.
Seorang kanak-kanak, Syed Syahir Rizqullah Tuan Amir Safuan, menunjukkan kesakitan yang dialaminya hingga ke paras bahu selepas memegang seekor obor-obor ketika berkelah bersama keluarganya di Pantai Beting Lintang, tidak jauh dari Bukit Kluang di Jertih, Terengganu. - Foto BERNAMA

JERTIH (Terengganu): Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan lima kes sengatan obor-obor berbisa membabitkan empat kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan seorang lelaki di Pantai Bukit Keluang, Jertih, Terengganu, pada 23 dan 24 Februari.

Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata kesemua mangsa, termasuk lelaki berusia 33 tahun yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Besut, Terengganu, disengat obor-obor yang dipercayai daripada spesies Physalia Physalis, yang juga dikenali sebagai Portuguese Man of War.

“Kesemua lima pesakit adalah pengunjung Pantai Bukit Keluang dan telah mendapatkan rawatan apabila mendapat kesan sakit dan merah di bahagian badan yang terlibat.

“Mangsa, termasuk kanak-kanak, telah dirawat di zon hijau dan didapati kesemua mereka mengalami reaksi setempat di kawasan jari dan pergelangan tangan.

“Kesemua pesakit juga telah dibenarkan pulang selepas pegawai perubatan mendapati keadaan mereka stabil,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Dr Kasemani berkata mangsa lelaki dewasa itu datang ke hospital berkenaan pada lewat malam 24 Februari selepas disengat hidupan marin itu ketika menarik jala ikan di pantai yang sama.

Menurutnya, mangsa mengalami kesakitan pada lengan dan gejala muntah akibat sengatan tersebut, namun dibenarkan pulang atas risiko sendiri kerana enggan dimasukkan ke wad.

“Pengunjung pantai peranginan di Terengganu dinasihatkan agar tidak mandi atau bermain air di kawasan yang terdapat spesies obor-obor bahaya ini.

“Sekiranya disengat obor-obor yang tidak diketahui spesiesnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air panas dengan suhu 45 darjah Celsius selama 30 minit untuk melegakan kesakitan dan segera mengunjungi kemudahan kesihatan berhampiran,” katanya.

Pada 28 Januari, BHM melaporkan obor-obor ‘maut’ ditemui di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, dipercayai kerana dihanyutkan ombak besar.

Obor-obor Kiropsoid Tanggul Luar, atau nama saintifiknya Chiropsoides Buitendijki, ditemui masih hidup terdampar di Pantai Tok Jembal di belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, pada 23 Januari.

Kurator Kanan, Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan UMT, Cik Azwarina Mohd Azmi Ramasamy, berkata penyelidikan mendapati sengatan obor-obor itu boleh membawa maut jika terlewat mendapatkan rawatan antara lima dengan 10 minit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg