Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 penunggang motosikal maut dalam nahas lima kenderaan di Plaza Tol dekat Gelang Patah

Dec 22, 2023 | 5:51 PM
TRAGEDI MALANG: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri mengeluarkan mayat penunggang motosikal yang tersepit di bawah lori dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, kira-kira 6 pagi pada 22 Disember.
TRAGEDI MALANG: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri mengeluarkan mayat penunggang motosikal yang tersepit di bawah lori dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, kira-kira 6 pagi pada 22 Disember. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Dua penunggang motosikal maut dengan seorang daripada mereka tersepit di bawah lori, dalam satu nahas membabitkan lima kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan, di Gelang Patah, Johor, kira-kira 6 pagi pada 22 Disember.

Kededua mangsa, Encik Hoong Chee Keong, 49, tahun, dari Klang, Selangor, yang menunggang motosikal, Yamaha FZ, dan Encik Lee Koon Sang, 54 tahun, dari Gelang Patah, Johor, yang menaiki, Yamaha LC, dengan nombor pendaftaran Singapura, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya (AC) Rahmat Ariffin, berkata ketika kejadian, kededua mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

Beliau berkata kemalangan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, di Kompleks Sultan Abu Bakar itu, membabitkan dua motosikal serta sebuah treler, lori membawa muatan PVC dan bas pekerja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kegagalan brek dan hilang kawalan lalu merempuh treler dan bas sebelum merempuh dua penunggang motosikal terbabit.

“Kededua penunggang motosikal berusia 49 dan 54 tahun itu maut di tempat kejadian dengan seorang daripada mereka tersepit di bawah lori, manakala seorang lagi tercampak di atas permukaan jalan.

“Bagaimanapun, pemandu treler, pemandu bas dan 29 penumpang dalam bas pekerja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH), sambil menambah bahawa semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan.

AC Rahmat berkata mayat mangsa turut dihantar ke HSA untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Encik Hairulnizam Mohd Noh, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 6.04 pagi sebelum satu pasukan seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya menggunakan bantuan kren untuk mengangkat lori bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg