BATU PAHAT: Lima teras utama telah digariskan sebagai agenda pembangunan kawasan Semerah, Batu Pahat, oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Encik Mohd Khuzzan Abu Bakar, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata Semerah mempunyai kedudukan strategik di pinggir bandar Batu Pahat yang berpotensi berkembang sebagai kawasan moden dan berdaya saing tanpa mengabaikan identiti serta warisan setempat.

Menurut beliau, pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dari 2018 hingga 2020 menjadi asas untuk meneruskan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan pengalaman tersebut, saya menggariskan lima teras dan visi Semerah sebagai komitmen kepada seluruh warga Semerah dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat, prasarana, pendidikan, kebajikan serta perpaduan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada 2 Julai.

Di bawah teras pertama, Encik Mohd Khuzzan berkata beliau akan memperjuangkan Dana Usahawan Semerah bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana berkembang, selain memperluaskan program latihan teknikal dan kerjaya untuk meningkatkan kemahiran golongan muda mengikut keperluan industri.

Katanya, sektor pertanian turut diberi perhatian menerusi usaha memperkukuh pembangunan agro bagi meningkatkan daya penghasilan petani dan pengusaha tempatan.

Bagi aspek prasarana pula, beliau berhasrat mempercepat penyelenggaraan dan pembinaan jalan kampung, memperluaskan liputan internet serta mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana kepada penduduk.

Dalam bidang pendidikan, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Pendidikan Semerah untuk membantu pelajar yang memerlukan, selain membangunkan Pusat Belia dan Anak Muda Madani sebagai pusat latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.

Beliau turut merancang untuk merealisasikan Seri Sulong Sports City sebagai hab pembangunan sukan bagi melahirkan lebih ramai bakat muda di kawasan itu.

Mengulas aspek kesihatan dan kebajikan, Encik Mohd Khuzzan berkata beliau akan memperjuangkan pelaksanaan Klinik Bergerak Semerah bagi memudahkan akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan, selain memperkenalkan Kad Prihatin Semerah untuk membantu golongan memerlukan.

Katanya, konsep Bandar Mesra Warga Emas juga akan dibangunkan bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang lebih selesa dan bermaruah.

Di bawah teras kelima, beliau berhasrat memperkukuh perpaduan masyarakat melalui Dana Komuniti Pelbagai Kaum, memperluaskan inisiatif Semerah Selamat bagi meningkatkan keselamatan masyarakat, serta melaksanakan program Semerah Bersih dan Hijau untuk mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.

Beliau turut mencadangkan pembangunan Zon Warisan Bandar Penggaram serta Hub Budaya dan Kesenian Johor bagi memelihara warisan tempatan, di samping merancakkan sektor pelancongan domestik.

Menurut beliau, lima teras berkenaan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya merupakan pelan pembangunan yang mengambil kira keperluan semasa rakyat serta cabaran masa depan.

“Saya percaya pembangunan yang mampan perlu mengimbangi kemajuan ekonomi, pembangunan digital, kesejahteraan sosial serta pemeliharaan identiti dan warisan tempatan.

“Dengan sokongan aspirasi Kerajaan Madani, saya yakin Semerah mampu muncul sebagai kawasan yang lebih maju, moden dan menjadi contoh pembangunan seimbang di Johor,” katanya sambil memohon sokongan pengundi Semerah pada PRN kali ini.