Isu prasarana, kebajikan nelayan dan pembangunan ekopelancongan menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, kawasan Pengerang, Encik Faizul Abdul Ghani, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata hasil lawatan ke Tanjung Belungkor mendapati penduduk, khususnya nelayan, masih berdepan pelbagai masalah yang memerlukan perhatian segera, termasuk keadaan jeti dan jambatan yang uzur serta isu lesen menangkap ikan.

Menurutnya, kemudahan jeti sedia ada tidak lagi sesuai digunakan kerana dibina menggunakan kayu dan berada dalam keadaan kurang selamat, terutama untuk warga emas serta golongan kurang upaya.

“Penduduk memaklumkan permohonan menaik taraf jeti telah lama dikemukakan, namun sehingga kini masih belum mendapat peruntukan.

“Jika saya diberi mandat, perkara ini akan menjadi antara keutamaan kerana nelayan memerlukan jeti konkrit yang lebih kukuh dan selamat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau berkata kos menaik taraf jeti itu dianggarkan tidak terlalu tinggi dan percaya projek berkenaan mampu dilaksanakan, sekiranya mendapat kelulusan pihak berkaitan.

Selain prasarana, Encik Faizul berkata ramai nelayan masih belum memiliki lesen sah untuk turun ke laut, sekali gus menjejas sumber pendapatan dan keselamatan mereka.

“Isu lesen nelayan perlu diselesaikan kerana ia melibatkan punca rezeki mereka.

“Kita juga dimaklumkan terdapat kapal-kapal besar yang mengganggu kawasan tangkapan ikan, termasuk kejadian kebocoran minyak yang merosakkan jaring nelayan dan meningkatkan kos operasi mereka,” katanya.

Beliau turut melihat potensi besar Tanjung Belungkor sebagai destinasi ekopelancongan dengan keindahan alam semula jadi, hasil laut segar serta kegiatan penternakan ikan di rumah rakit.

Kawasan itu, ujar beliau, masih kurang dipromosikan walaupun mempunyai pelbagai tarikan yang mampu menarik lebih ramai pelancong jika kemudahan asas dipertingkatkan.

“DUN Tanjung Surat mempunyai banyak potensi yang perlu digilap. Pelancongan, ekopelancongan, hak nelayan, isu lesen dan pembangunan infrastruktur asas adalah antara tujuh tekad yang saya bawa untuk kawasan ini,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Encik Faizul berkata beliau sudah meliputi kira-kira 40 peratus kawasan DUN Tanjung Surat, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mempunyai kira-kira 13,000 pengundi.

Menurutnya, empat rancangan Felda di kawasan itu turut berdepan isu generasi kedua, termasuk permohonan lot tanah dan pelbagai kemudahan asas yang memerlukan perhatian.

“Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kawasan Felda kerana di situlah terdapat sebahagian besar pengundi, selain meneruskan siri pertemuan dengan masyarakat di seluruh DUN Tanjung Surat bagi mendengar sendiri masalah mereka,” katanya.