Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Bersama gesa budaya kempen sederhana
PRN Johor: Bersama gesa budaya kempen sederhana
Persoal penganjuran acara berskala besar oleh parti kerajaan, usul pengundi jemput calon ke rumah atau premis
PRN Johor: Bersama gesa budaya kempen sederhana
JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mencadangkan pendekatan baharu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memberi peluang kepada pengundi menjemput calon berkenaan hadir ke rumah atau premis mereka, sebagai usaha mengurangkan kos kempen serta menggalakkan amalan politik yang lebih telus.
Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada 30 Jun, Presiden Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Timbalan Presiden, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pendekatan itu diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada majlis kempen berskala besar yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap penganjuran majlis besar yang dikendalikan penganjur acara profesional serta program melibatkan agensi kerajaan yang disertai anggota pentadbiran negeri dan Persekutuan bersama calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut mereka, keadaan itu bercanggah dengan komitmen Kerajaan Persekutuan yang sering menekankan usaha membanteras rasuah dan pembaziran.
“Lebih membimbangkan apabila perbelanjaan besar bagi kempen PH dan BN memberi gambaran seolah-olah rakyat tidak mempersoalkan sumber dana yang digunakan untuk membiayai kempen tersebut,” menurut kenyataan itu.
Bersama berpandangan bahawa semua parti politik perlu membudayakan kempen yang lebih berhemah dengan mengurangkan penganjuran acara berskala besar.
Sehubungan itu, parti berkenaan memperkenalkan mekanisme baharu yang membolehkan pengundi, persatuan penduduk, pertubuhan masyarakat atau kumpulan individu menjemput calon Bersama hadir ke kediaman atau premis mereka untuk sesi dialog dan suai kenal.
Melalui sistem itu, pengundi hanya perlu melayari laman sesawang parti, memilih calon mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mengemukakan maklumat penganjur serta cadangan tarikh, masa dan lokasi pertemuan, sebelum permohonan itu diproses oleh pasukan kempen calon terbabit.
Menurut Bersama, pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada pengundi mengenali calon secara lebih dekat, malah dapat mengurangkan keperluan menganjurkan program besar yang menelan kos tinggi.
“Bersama percaya inovasi kempen seperti ini mampu membantu membersihkan proses pilihan raya daripada pergantungan kepada sumber dana politik yang sering dipersoalkan, kerana keperluan berbelanja besar dapat dikurangkan,” menurut kenyataan itu.
Parti berkenaan turut mengajak pengundi di 15 kerusi yang ditandinginya memanfaatkan kemudahan berkenaan bagi mengadakan pertemuan secara terus dengan calon masing-masing.
Pada masa yang sama, Bersama berharap pendekatan itu dapat menghantar mesej kepada parti-parti lain supaya mengamalkan budaya kempen yang lebih sederhana, telus dan berfokus kepada pertemuan terus antara calon dengan rakyat, berbanding penganjuran majlis berskala besar.
