JOHOR BAHRU: Kawasan Little India di sini dijangka menjadi tarikan pelancongan utama sebaik sahaja projek Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi pada 1 Januari 2027, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata pelaksanaan projek RTS bersama pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan mengubah landskap Johor Bahru dan memperkukuh potensi ekonominya dalam tempoh setahun akan datang.
“Saya yakin Johor Bahru akan melalui transformasi besar dalam tempoh 12 bulan ini, bukan sahaja kerana JS-SEZ tetapi juga hasil pelaksanaan projek RTS Link.
“Sebaik sahaja ia beroperasi, kira-kira 10,000 orang akan dapat menyeberangi sempadan setiap jam melalui RTS. Ini bermakna lebih ramai pelawat dan pelancong akan datang ke Johor Bahru, dan Little India perlu menjadi antara tarikan utama mereka,” katanya semasa merasmikan Bazar Deepavali di Little India pada malam 12 Oktober.
Datuk Onn Hafiz turut memaklumkan kerajaan negeri merancang untuk memperindah dan menghidupkan semula kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta stesen RTS yang bakal siap tidak lama lagi.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan Johor Bahru sebagai hab pelancongan terkemuka di negeri itu.
“Inisiatif ini bukan hanya tanggungjawab saya atau pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semata-mata. Ia perlu menjadi usaha bersama seluruh masyarakat bagi memastikan Johor terus membangun dan muncul sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
Menteri Besar itu turut mengumumkan rancangan untuk memberi keutamaan kepada peniaga tempatan, khususnya dalam kalangan masyarakat India, sempena penganjuran bazar Deepavali tahun depan.
“Kita akan mengehadkan penyertaan peniaga dari luar negeri dua bulan sebelum perayaan supaya keutamaan diberikan kepada peniaga India dari Johor. Saya percaya semua pihak bersetuju langkah ini adalah yang tepat,” katanya lapor The Star.
Datuk Onn Hafiz turut memuji penganjur atas kejayaan penganjuran bazar tahun 2025 yang menyaksikan pertambahan bilangan peniaga berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau turut menyeru rakyat Johor daripada semua kaum agar terus memupuk perpaduan dan bekerjasama untuk memperkukuh keharmonian serta kemajuan negeri.
“Di Johor, tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India, kita semua adalah satu keluarga, iaitu keluarga Bangsa Johor.
“Perpaduan adalah kekuatan kita. Bersama-sama, kita mampu membina Johor yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg