KOTA BHARU: Parti komponen dalam gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN), mempunyai beberapa pilihan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya isu penggantungan PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih belum diselesaikan.

Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata antara kemungkinan ialah parti komponen bertanding menggunakan logo masing-masing.

Sementara satu lagi pilihan lain ialah menggunakan logo parti komponen lain sekiranya keadaan memerlukan.

PN ketika ini diterajui PAS dan turut dianggotai Parti Wawasan Negara (Wawasan); Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berdepan konflik dengan PN.

“Saya secara peribadi melihat kita mempunyai banyak pilihan. Kita mempunyai logo sendiri, tetapi jika keadaan menjadi terlalu mendesak, kita mungkin bertanding menggunakan logo parti lain.

“Mungkin Wawasan boleh menggunakan logo lain jika keadaan sampai ke tahap itu. Jika sesebuah parti tidak boleh menjalankan aktiviti, kita perlu melihat pilihan lain,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjelaskan demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya PAS Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan, bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), pada malam 24 September.

RoS menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September, menyusuli notis yang dikeluarkan kepada gabungan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.

Aduan Bersatu antara lain mengenai kedudukan parti itu dalam PN serta tindakan PN meminggirkan Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada Julai lalu.

Perintah penggantungan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas notis mengenainya dikeluarkan kepada PN, sehari sebelum itu.

Notis terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.

Datuk Mohd Amar berkata kemungkinan berkait penggunaan logo untuk pilihan raya itu masih sekadar andaian politik dan belum ada sebarang keputusan dibuat.

Beliau menambah terdapat duluan (kes) membabitkan Bersatu apabila parti itu sebelum ini menerima surat daripada RoS yang mengehadkan kegiatan serta penggunaan logonya.

“Pada ketika itu, Bersatu bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi, tidak mustahil perkara sama berlaku lagi,” katanya yang percaya isu itu boleh diselesaikan dalam tempoh 30 hari yang diberikan RoS.

“Tiga puluh hari adalah tempoh yang agak panjang, tapi ada kemungkinan PRN Melaka tidak dapat menggunakan logo PN. Itu perkara yang perlu diputuskan oleh kepemimpinan,” katanya.