Topik diikuti
Pergi ke BHkuDUN Melaka bubar 23 Sep, buka laluan untuk PRN diadakan
Pilihan Raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari
DUN Melaka bubar 23 Sep, buka laluan untuk PRN diadakan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara rasmi pada 23 September, bagi membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diadakan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh, pada satu sidang media khas pada petang 22 September, berkata pembubaran DUN itu dilakukan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
“Sukacita saya maklumkan Tuan Yang Terutama telah berkenan (bersetuju) DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok bersamaan 23 September 2026 pada hari Rabu.
“Dengan pembubaran ini maka berakhirnya penggal DUN Melaka dan proses seterusnya mengikut ketetapan pihak berkuasa berkaitan,” katanya pada sidang media itu.
Penggal DUN Melaka dijadual berakhir pada Disember 2026.
Dengan pembubaran DUN Melaka itu, PRN Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.
Menyusuli itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian mengikut peruntukan undang-undang bagi PRN Melaka ke-16.
Melaka adalah negeri ketiga yang mengadakan PRN pada 2026, selepas Johor mengadakan PRN pada 11 Julai lalu, diikuti Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, dengan Barisan Nasional (BN) mendominasi 21 kerusi pada PRN ke-15 pada November 2021, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Selepas PRN15 itu, Melaka membentuk Kerajaan Perpaduan sebagaimana Kerajaan Persekutuan, dengan Exco Kerajaan Negeri itu turut dibarisi Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (Adun) daripada PH.
Bagaimanapun, pada 16 Julai lalu, lima Adun PH Melaka menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri, sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan), yang membenarkan pelantikan sehingga tujuh Adun lantikan.
Untuk menghadapi PRN Melaka kali ini, Datuk Ab Rauf belum memuktamadkan gabungan politik yang akan bekerjasama dengan BN.
Bagaimanapun, pemimpin Umno/BN dilihat cenderung untuk menjalin kerjasama atau persefahaman dengan PN, sebagaimana pada PRN Negeri Sembilan, yang akhirnya menyaksikan gabungan BN-PN menumbangkan PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun DUN telah dibubarkan, Datuk Ab Rauf berkata urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak terhenti.
“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Kerajaan Sementara sehingga sebuah kerajaan negeri baharu dibentuk,” katanya.