Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loji biopenapis Pengerang bernilai RM6b mula dibangunkan

Johor mahu perkasa industri hijau
Nov 11, 2025 | 12:37 PM
Johor, biopenapis, dibangunkan, Pengerang
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Encik Lee Ting Han. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Pembangunan loji biopenapis terbesar di Johor dimulakan secara rasmi dengan Majlis Pecah Tanah Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB) di Kompleks Bersepadu Pengerang, pada 8 November.

Majlis tersebut disempurnakan dengan kerjasama tiga syarikat utama iaitu Petronas, Enilive dari Italy dan Euglena Co. Ltd dari Jepun, dengan nilai pelaburan sekitar RM6 bilion ($1.8 bilion).

Ia merupakan komitmen pelaburan perkilangan terbesar dalam jumlah RM56 bilion pelaburan yang masuk ke Johor pada 2025.

Berucap mewakili Menteri Besar Johor, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Encik Lee Ting Han, berkata projek itu menandakan satu anjakan baru dalam landskap perindustrian negeri dengan memberi penekanan kepada tenaga hijau dan pembangunan mampan.

Menurutnya, projek berkenaan mencerminkan kerjasama strategik antara Malaysia dengan rakan industri antarabangsa dalam menerajui pengeluaran bahan api mesra alam, termasuk bahan api penerbangan lestari, minyak sayuran terhidrogen (HVO) dan bio-nafta.

“Johor sedang melangkah ke era perindustrian masa hadapan yang lebih lestari. Projek ini bukan sekadar pelaburan bernilai tinggi, tetapi membawa maksud yang lebih besar kepada pertumbuhan mapan, pemindahan teknologi, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 November.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Johor akan memberi sokongan penuh termasuk mempercepatkan proses kelulusan melalui Majlis Perbandaran Pengerang, agar pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa kelewatan yang tidak perlu.

Pembangunan loji itu berlaku selari dengan peningkatan permintaan global terhadap bahan api rendah karbon.

Encik Lee berkata menurut data antarabangsa, penggunaan bahan api penerbangan lestari dijangka meningkat secara berterusan seiring dasar peralihan tenaga dan komitmen industri penerbangan dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Dengan kapasiti pemprosesan sekitar 650,000 tan setahun, loji ini meletakkan Johor pada barisan hadapan dalam rantaian tenaga hijau global.

“Kompleks Bersepadu Pengerang telah berkembang menjadi pusat perindustrian bertaraf dunia.

“Loji ini memperkukuh lagi transformasi Pengerang, bukan hanya sebagai hab petroleum, tetapi sebagai peneraju bahan api masa depan dan teknologi hijau,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa manfaat projek itu akan dirasai secara langsung oleh rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri, serta pembangunan bakat anak muda Johor.

“Ini bukan sekadar pembinaan sebuah kemudahan. Ia adalah platform pemindahan pengetahuan, inovasi dan pembinaan masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Loji tersebut dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg