Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada malam 29 September.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbarnya, Encik Sufi Yusoff, pada 30 September.

Encik Sufi berkata Dr Mahathir, yang berusia 101 tahun, dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian dan rawatan berkala selepas tidak cukup rehat dan tidur sejak pemergian isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pada 28 September.

“Beliau okey, tetapi keletihan dengan segala turun naik emosi, cuaca panas dan tidak cukup rehat dan keadaan itu tidak baik untuk seseorang yang berusia 100 tahun.

“Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN selepas selesai majlis tahlil untuk Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah malam tadi (29 September),” katanya kepada Berita Harian.

Majlis tahlil itu berlangsung di rumah Dr Mahathir di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan tinjauan di IJN mendapati kenderaan polis yang ditugaskan mengiringi Dr Mahathir berada di lobi sayap belakang IJN.

Beberapa anggota dan pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut dilihat berkawal di situ.

Difahamkan, Dr Mahathir turut ditemani oleh anak dan cucunya di dalam wad di Unit Penjagaan Koronari (CCU).

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 9.30 pagi 28 September lalu, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 26 September.

Jenazah Allahyarhamha dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada 6.30 petang hari sama dan diberi penghormatan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Pemergian Allahyarhamha Dr Siti Hasmah, mengubah rutin kehidupan Dr Mahathir, selepas tujuh dekad pasangan itu melalui kehidupan bersama dan dihormati sebagai pasangan yang menjadi teladan ramai.

Sebagai tokoh wanita yang disegani dan mantan wanita pertama Malaysia, Allahyarhamha memainkan peranan penting dan pendamping setia Dr Mahathir sepanjang pelbagai fasa kehidupannya.

Dr Mahathir dan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka.

Pasangan itu dikurniakan tujuh anak.