Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahathir dinasihat berehat panjang, tak sesuai jalani pembedahan kerana faktor usia

Jan 8, 2026 | 3:05 PM
Mahathir, terjatuh, tak sesuai jalani pembedahan, tokoh M’sia
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto fail

Pembedahan bukanlah pilihan utama dalam rawatan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas disahkan mengalami patah tulang pinggul.

Anaknya, Datuk Seri Mukhriz, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor usia Dr Mahathir yang mencecah 100 tahun serta keseluruhan tahap kesihatannya.

Sebaliknya, Dr Mahathir akan menjalani proses pemulihan biasa, dijangka memakan masa dua hingga tiga minggu, bagi memastikan beliau sembuh selamat dan berperingkat.

“Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, maka tentulah kena ambil masa sikit kira-kira dua hingga tiga minggu untuk rehat dan pulih. Oleh kerana faktor usia sudah 100 tahun, maka pembedahan bukan satu pilihan yang baik. 

“Jadi oleh kerana itu kita telah dinasihatkan oleh doktor pakar dari IJN dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk beliau melalui satu proses pemulihan biasa yang akan makan masa sikit. 

“Tujuannya tentulah supaya beliau boleh kembali sihat dan melakukan tugas seperti biasa sebagaimana sebelum ini,” kata Datuk Mukhriz dalam satu rakaman video yang dikongsikan pada 7 Januari.

Datuk Mukhriz memaklumkan kecederaan berlaku setelah Dr Mahathir terjatuh semasa senaman rutin di rumah, sebelum dibawa ke IJN untuk rawatan lanjut.

Pendekatan pemulihan konservatif ini diharap dapat memastikan Tun Dr Mahathir pulih sepenuhnya dan kembali aktif seperti biasa.

Sehubungan itu, Datuk Mukhriz merayu orang ramai memberi ruang kepada bapanya itu berehat dan menjalani pemulihan tanpa tekanan, demi proses penyembuhan yang lancar.

Untuk rekod, mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu pernah dirawat di IJN pada 13 Julai 2025 kerana keletihan selepas menyertai satu program berbasikal di Putrajaya, namun dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Pemimpin daripada pelbagai parti politik dan seluruh warga Malaysia turut mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Dr Mahathir agar segera sembuh.

Dr Mahathir, yang juga Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat (22 tahun) dan pernah menjadi Perdana Menteri tertua ketika memegang jawatan itu buat kali kedua pada 2018, mencapai usia 100 tahun pada 10 Julai 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg